Menu Rahmah: Dulu ikat perut, sekarang tidak lagi - Pelajar

Restoran yang menjual Menu Rahmah berhampiran UiTM Seri Iskandar, Perak. - Foto Bernama (kredit Nazira Hasanah Nasaruddin)
Restoran yang menjual Menu Rahmah berhampiran UiTM Seri Iskandar, Perak. - Foto Bernama (kredit Nazira Hasanah Nasaruddin)
A
A
A

IPOH - Golongan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) mahukan inisiatif Menu Rahmah yang diperkenalkan kerajaan diteruskan kerana dapat membantu mengurangkan beban kewangan yang dihadapi mereka.

Pelajar Fakulti Sains dan Matematik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Mohamad Danial Ahmad Razmi, 23, berkata, konsep Menu Rahmah yang ditawarkan di kafe-kafe universitinya amat membantu golongan pelajar menjimatkan perbelanjaan harian.

"Sebelum adanya konsep Menu Rahmah ini, saya perlu membelanjakan kira-kira RM20 untuk makan tengah hari dan malam namun kini saya hanya keluarkan RM10 sehari untuk menampung kos makanan.

"Ada sebuah kafe di sini yang menjual tiga bungkus nasi ayam dengan harga RM10. Jadi, saya boleh berkongsi duit dengan rakan-rakan untuk beli nasi ayam tanpa perlu risau,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, seorang pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) Seri Iskandar, Shera Temeling, 21, yang berasal dari Kuching, Sarawak berkata, Menu Rahmah ini bukan sahaja menepati konsep harga berpatutan namun ia juga lengkap dari segi nutrisi makanan.

"Saya beli nasi, lauk ayam dan sayur campur berserta air dengan hanya RM5. Menu itu sahaja sudah berkhasiat kerana terdapat protein, karbohidrat serta vitamin yang diperlukan oleh badan,” katanya.

Pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Kuala Kangsar, Adil Zaini Hamzah, 24, berkata, inisiatif ini masih relevan dan perlu diteruskan walaupun terdapat komen negatif terhadanya.

"Saya sebagai Pengerusi Persatuan Pelajar Kewangan Islam (IFiSS) sendiri melihat kesusahan dan kepayahan rakan-rakan yang perlu ikat perut untuk membeli makanan. Ada juga yang hanya makan sekali sehari kerana perlukan wang untuk urusan pembelajaran.

"Di sekitar USAS, terdapat beberapa warung yang menjual Menu Rahmah dan sering didatangi oleh pelajar-pelajar kerana dapat membeli dengan harga yang murah sekali gus memperoleh nutrisi mencukupi, tidaklah hanya makan makanan segera,” katanya.

Rakannya, Nur Rudiana Norazman, 23, turut berharap agar pihak universiti berbincang dan membuat kolaborasi dengan pihak kafeteria untuk memperkenalkan konsep Menu Rahmah ini secara bersasar.

"Walaupun daripada IPT swasta, kami juga berdepan dengan pelbagai cabaran seperti kekangan kewangan. Dengan adanya inisiatif ini di setiap kafeteria, dapat bantu kami meneruskan hidup sebagai pelajar,” katanya.

Seorang penjual makanan di sebuah kolej di Universiti Teknologi Mara (UITM) Seri Iskandar, Muhammad Khari Syaqirin Ismail, 28, berkata, dia menyahut seruan kerajaan untuk menyertai Menu Rahmah ini kerana ingin meringankan beban pelajar-pelajar di sini.

"Menu Rahmah yang saya sediakan bergantung kepada lauk pilihan sama ada ayam atau ikan bersama nasi putih dan sayur campur. Tengah hari kami sediakan makanan lauk campur manakala sebelah petang hingga malam pula berkonsepkan makanan lambak seperti kuetiau goreng, spageti, dan bihun goreng dengan harga RM5.

"Alhamdulillah, dalam sehari pembelian Menu Rahmah oleh pelajar-pelajar di sini sahaja boleh mencecah RM2,000,” katanya.

Namun begitu, Muhammad Khari Syaqirin mengharapkan adanya bantuan atau insentif daripada kerajaan kepada peniaga yang berdaftar dengan Menu Rahmah memandangkan berlaku kenaikan mendadak bagi harga barangan asas.

Sementara itu, Pengarah Urusan Restoran Nasi Vanggey, Ahamed Azlanshah Saiful Jaafar Sadik di Greentown di sini berkata, premisnya menyediakan lebih 100 hidangan Menu Rahmah bagi pengunjung yang datang lebih-lebih lagi kepada pelajar, memandangkan terdapat dua IPT swasta berdekatan.

"Menu Rahmah ini dapat bantu mengurangkan kos pelajar dan mereka boleh menguruskan wang untuk urusan lain. Setakat ini, ramai pelajar yang datang untuk mendapatkan Menu Rahmah ini.

"Kami hanya menyediakan Menu Rahmah ini pada setiap Jumaat bermula pukul 11 pagi. Antara menunya adalah nasi, ayam vanggey, sayur, kuah campur dan sambal serta ais kosong dengan harga RM5,” katanya. - Bernama