PRN: Amirudin yakin PH Selangor sudah miliki 33 kerusi selamat

Amirudin
Amirudin
A
A
A

KUALA SELANGOR - Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari optimis gabungan politik itu mampu menang sekurang-kurangnya di 33 daripada 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) yang bakal berlangsung 12 Ogos ini.

Beliau berkata, 33 kawasan terbabit merupakan kerusi selamat untuk PH dan rakan kerjasamanya Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan negeri pada penggal akan datang.

"Saya tengok data dan ada juga membuat kajian... insya-ALLAH, setakat ini kita sebenarnya telah mempunyai 33 kerusi selamat dan boleh membina kerajaan negeri dengan majoriti mudah.

"Itu saya tak masukkan lagi tujuh kerusi yang sebenarnya kita menang yang dianggap marginal kerana menang di bawah 2,000 undi. Jadi kalau campur tujuh kerusi lagi, maka PH dan BN boleh bentuk kerajaan dengan 40 kerusi serta beroleh kemenangan dua pertiga," katanya ketika berucap pada Jelajah Madani DUN di Bukit Melawati di sini malam ini.

Justeru, Amirudin menyeru jentera PH dan BN untuk bersama-sama bekerja lebih keras hingga hari pengundian bagi membolehkan gabungan politik itu mencapai kemenangan bagi membentuk Kerajaan Perpaduan di Selangor pada PRN nanti.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, PH mendominasi Selangor dengan memenangi 51 kerusi diikuti BN (empat kerusi) dan PAS (satu kerusi).

Kedudukan kerusi sebelum DUN dibubarkan ialah PH memiliki 40 kerusi (PKR-19, DAP-15, Amanah-enam) diikuti BN (lima), Bersatu (empat) dan Parti Bangsa Malaysia (dua) manakala PAS, Pejuang serta Warisan masing-masing satu kerusi selain seorang wakil rakyat Bebas.

Kerusi Batang Kali pula diisytiharkan kosong pada Februari lepas selepas wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan. - Bernama