Beri wang, makanan untuk raih undi tidak patut berlaku

Abdul Wahab
Abdul Wahab
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pemberian bantuan berupa wang ringgit atau sumbangan makanan kepada rakyat bagi meraih undi semasa pilihan raya negeri (PRN) akan datang tidak sepatutnya diamalkan oleh mana-mana parti politik.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Tertinggi Rasuah Busters peringkat Negeri Kedah, Abdul Wahab Yahya berpendapat, perkara itu boleh dibuat sekiranya ia berbentuk sumbangan ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

“Kita boleh lihat pada beberapa pilihan raya sebelumnya, parti-parti politik turun padang berkempen secara bersih namun tiada yang datang dengan tangan kosong.

“Setiap calon yang memberikan sumbangan contohnya makanan atau bahan masakan kepada golongan fakir miskin, ia adalah wajar, tetapi jika beri duit agar mereka diundi, perkara itu tidak baik,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Ujarnya, situasi seperti itu tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat kerana pengundi perlu mempunyai pandangan yang kritikal tentang calon pemimpin mereka supaya negara berada dalam keadaan yang stabil, berintegriti dan bebas rasuah.

Abdul Wahab berkata, pemberi dan penerima rasuah perlu dihukum supaya kewangan negara dapat diuruskan dengan baik untuk pembangunan negara yang positif.

“Masyarakat juga perlu bijak menilai dan memilih pemimpin yang bebas rasuah supaya jenayah tersebut dapat dikekang dari peringkat atas ke bawah dan sebaliknya,” kata beliau.