Polis tidak tutup kes anggota dibunuh

Fadzil Ahmat
Fadzil Ahmat
A
A
A

SHAH ALAM - Polis tidak menutup kes kematian seorang anggotanya berpangkat lans koperal yang ditemukan dengan kesan tetak serta tembakan di Balai Polis Pinggiran USJ, Subang pada 31 Ogos 2017.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, siasatan kes tersebut masih dijalankan bagi menjejak penjenayah terbabit.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sehingga kini kami (polis) masih menyiasat kes tersebut, kes tidak ditutup dan siasatan terus dijalankan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.

Tambahnya, motif dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Terdahulu, mangsa Velentino Mesa, 29, berasal dari Sarawak yang bertugas di kaunter pertanyaan balai polis terbabit ditemukan maut dengan kesan tembakan di belakang badan dan tetakan di kepala kira-kira pukul 3.25 pagi oleh pasukan Unit Peronda (MPV) yang pulang selepas menjalankan rondaan.

Ketika kejadian mangsa berseorangan dan kali terakhir dilihat sedang bertugas kira-kira pukul 1 pagi ketika pegawai atasannya melakukan lawatan ke balai berkenaan.

Pemeriksaan di lokasi kejadian juga tidak menemukan senjata api milik mangsa dipercayai telah dilarikan penjenayah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bapa mangsa, Mesa anak Ugom, 54, mempersoalkan bagaimana pembunuhan anaknya itu masih lagi menemui jalan buntu sehingga bertahun lamanya walaupun ianya berlaku dalam balai polis tempat dia bekerja.