Lion City Sailors ganti AS Roma berdepan Tottenham Hotspur

Harry Kane (kiri) dan Son Heung-min antara tonggak Tottenham Hotspur. - Foto Agensi
Harry Kane (kiri) dan Son Heung-min antara tonggak Tottenham Hotspur. - Foto Agensi
A
A
A

KELAB berpengaruh Liga Perdana Inggeris (EPL), Tottenham Hotspur akan menentang kelab Liga Perdana Singapura, Lion City Sailors di Stadium Nasional, pada 26 Julai.

The Sailors akan menggantikan kelab Serie A, AS Roma, yang pada mulanya dijadualkan menentang Spurs asuhan Ange Postecoglou.

“Perubahan jadual terpaksa dilakukan apabila Siri Jelajah Korea AS Roma tidak berjalan seperti yang dirancang dan kelab itu terpaksa menjadualkan semula perlawanan pramusimnya.

“Kami sangat gembira kerana (Lion City Sailors) juga akan menjadi sebahagian daripada aksi di atas padang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TEG Sport, Geoff Jones pada Rabu.

Jelas promoter itu lagi pemegang tiket dengan tempat duduk di bahagian Roma untuk perlawanan pada 26 Julai akan dibayar balik secara automatik.

Tiket perlawanan sedia ada yang lain kekal sah, namun pemegang tiket perlawanan boleh meminta bayaran balik sebelum jam 12 tengah hari pada 21 Julai.

Dalam pada itu, Pengerusi Lion City Sailors, Forrest Li berkata menentang kelab berpengaruh seperti Tottenham akan memberi peluang kepada Sailors untuk lebih bersedia menghadapi kesukaran Liga Juara-Juara AFC.

Tambahnya, perlawanan itu juga secara tidak langsung memberikan persembahan visual untuk penyokong kelab tersebut.

Menurutnya, Tottenham kelab yang mendapat sokongan baik di Singapura dan menjangkakan lebih ramai para penyokong kelab tersebut akan hadir.

“Kami berharap perlawanan itu akan memberi pendedahan kepada para penyokong Tottenham tentang bola sepak tempatan dan mencetuskan minat terhadap liga bola sepak tempatan kami.”

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Tottenham Hotspur, Donna-Maria Cullen berkata: “Perlawanan menentang Lion City Sailors akan menjadi pengalaman hebat bagi para penyokong Tottenham untuk melihat kami menentang kelab terkemuka Singapura di Stadium Nasional.”

Perlawanan antara Tottenham dan Sailors adalah sebahagian daripada edisi sulung Festival Bola Sepak Singapura yang akan berlangsung dari 26 Julai hingga 2 Ogos, yang mendapat sokongan Lembaga Pelancongan Singapura.

Sebagai rekod, perlawanan lain semasa acara itu termasuk perlawanan Liverpool menentang Bayern Munich dan Leicester City.