HSR KL-Singapura berpotensi jadi projek pertama tanpa dana kerajaan

Fauzi
Fauzi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Projek keretapi berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura berpotensi menjadi projek pertama seumpama itu di dunia yang dilaksanakan sepenuhnya tanpa dana daripada kerajaan.

Sehubungan itu, MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) selaku badan bertanggungjawab, membuka ruang sepenuhnya kepada mana-mana syarikat swasta tempatan mahupun antarabangsa yang berminat untuk merealisasikan projek tersebut.

Pengerusi MyHSR Corp, Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman berkata, proses permintaan maklumat (Request for Information- RFI) yang telah mula dibuka bakal menentukan potensi keupayaan daripada mana-mana syarikat swasta untuk projek berkenaan.

Fauzi ketika sesi penerangan bersama Media 'Teh Tarik Session With The Chairman'
Fauzi ketika sesi penerangan bersama Media 'Teh Tarik Session With The Chairman'

Menurutnya, syarikat berminat boleh mengemukakan cadangan baharu mahupun menjadikan jajaran sedia ada sebagai rujukan.

"Jajaran telah disediakan oleh MyHSR Corp, tapi tak semestinya diikuti 100 peratus oleh pemaju.

"Mungkin mereka rasakan jajaran mereka lebih baik, mereka lebih tahu. Kita hanya sediakan asas.

"Kita akan lihat respon swasta. Sama ada tempatan atau antarabangsa, atau mereka boleh bergabung.

"Jika ada yang berminat membiayai projek ini, bermakna mereka tahu projek ini mampu memberi pulangan lumayan," katanya ditemui ketika sesi penerangan bersama Media 'Teh Tarik Session With The Chairman', di sini pada Rabu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corp, Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal berkata, projek tersebut juga terbuka kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corp, Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal
Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corp, Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal

Katanya, tempoh tiga bulan diberikan selepas dokumen RFI diperoleh untuk mana-mana syarikat berminat menyediakan kertas cadangan.

"Projek ini bukan semata-mata projek landasan kereta api, tetapi tentang bagaimana untuk mengubah Malaysia sebagai negara yang mampu bersaing diperingkat global.

"Projek keretapi berkelajuan tinggi sudah menjadi kelaziman untuk negara-negara maju dan membangun," katanya.

Untuk rekod, keretapi berkelajuan tinggi Taiwan (Taipei-Kaoshiong) menggunakan 79 peratus dana swasta, diikuti Indonesia (Bandung-Jakarta) 75 peratus dan United Kingdom (London-Channel Tunnel) sebanyak 70 peratus.

Ketiga-tiga negara hanya melibatkan sebahagian dana kerajaan dalam aspek pengambilan tanah untuk projek seumpama itu.

Malaysia dan Singapura memeterai perjanjian dua hala untuk melaksanakan projek HSR pada 13 Disember 2016.

Projek sepanjang 350 kilometer yang dijadualkan siap pada 2026 itu dijangka memendekkan masa perjalanan antara kedua-dua bandar raya kepada 90 minit.

Namun, pembinaan projek itu ditangguhkan pada September 2018 dan pada 31 Mei 2020, kedua-dua kerajaan bersetuju menangguhkan pembangunan projek dua hala bernilai RM110 bilion itu sehingga 31 Disember 2020.

Pada 1 Januari 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan bersama penamatan projek HSR apabila kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan bagi perubahan yang dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember 2020.

Bagaimanapun selepas itu, kerajaan menyatakan keterbukaan kepada cadangan pelaksanaan semula projek tersebut selagi ia membabitkan pelaburan swasta.