Agong, Permaisuri zahir ucapan tahniah kepada Rastam

Rastam dianugerahkan The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star daripada Maharaja Jepun. - Foto Facebook Istana Negara
Rastam dianugerahkan The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star daripada Maharaja Jepun. - Foto Facebook Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada bekas ketua setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Rastam Mohd Isa atas penganugerahan The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star daripada Maharaja Jepun, semalam.

Turut menzahirkan ucapan tahniah ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi hantaran di Facebook Istana Negara hari ini, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sukacita dan bangga serta menyifatkan anugerah berprestij itu sebagai pengiktirafan kepada Rastam dan negara.

"Selain itu, ia juga sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan individu yang berkualiti, berwibawa dan bertaraf antarabangsa,” menurut hantaran itu.

Seri Paduka berdua turut menzahirkan harapan agar pencapaian cemerlang Rastam menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk memberi yang terbaik dan berusaha mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang masing-masing.

"Seri Paduka berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Tan Sri Rastam dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan,” menurut hantaran itu.

Rastam, 72, menerima anugerah berprestij itu sebagai pengiktirafan atas sumbangan beliau dalam mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun.

Majlis penganugerahan diadakan di kediaman Duta Besar Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko, semalam.

Anugerah itu juga diberikan atas peranan penting Rastam dalam hubungan ekonomi antara kedua-dua negara melalui pertukaran nota rasmi ‘Perjanjian Perkongsian Ekonomi Jepun-Malaysia (EPA)’.

Perjanjian itu merangsangkan ekonomi kedua-dua negara dan menambah baik persekitaran perniagaan dan meningkatkan peluang pelaburan. - Bernama