Rundingan Kesedar, 291 peserta PAKS hingga 29 Oktober

Hisham (tengah) yang mewakili plaintif-plaintif berkait kes tuntutan terhadap Kesedar.
Hisham (tengah) yang mewakili plaintif-plaintif berkait kes tuntutan terhadap Kesedar.
A
A
A

KOTA BHARU - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu memberikan tempoh sehingga 29 Oktober ini untuk proses rundingan membabitkan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan 291 peserta bagi penyelesaian kemelut Projek Agropolitan Kelantan Selatan (PAKS) Rantau Manis, Gua Musang.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas sekali gus menetapkan tarikh itu untuk pengurusan kes berkenaan.

Sebelum itu, pada hari pertama proses mediasi dijalankan, lima wakil peserta juga plaintif-plaintif iaitu bekas Pengerusi PAKS, Roslee Ibrahim; Tuan Hamid Tuan Ab Rahman; Saharudin Mohd Ibrahim; Anuar Amri Shafie @ Mohd Noor dan Ahmad Fauzi Setapa mengadakan perbincangan di dalam kamar hakim bersama peguam kedua-dua pihak.

Peguam plaintif, Hisham Fauzi berkata, peserta sudah pun memaklumkan kepada pihak mahkamah berkait tiga tuntutan asas bagi tujuan rundingan penyelesaian tersebut.

Hisham (tiga dari kiri) melihat dokumen berkaitan kes.
Hisham (tiga dari kiri) melihat dokumen berkaitan kes.

Menurutnya, tuntutan itu termasuk memohon supaya mereka diterima bekerja semula sebagai peneroka Kesedar yang juga defendan dan perjanjian berkaitan dibuat semula.

“Mereka tidak ada punca pendapatan sebab itu perlu bekerja semula.

“Mereka juga mahukan hak diberikan sebagaimana peneroka-peneroka Kesedar di tanah rancangan lain dan diberikan wang gratuiti berjumlah RM8,400 seperti dibayar kepada peserta lain yang bersetuju sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita di luar bilik mahkamah di sini pada Rabu.

Beliau berkata, tuntutan-tuntutan itu juga akan dibuat secara bertulis kepada pihak peguam Kesedar yang diwakili oleh peguam Arham Rahimy Hariri.

Sementara itu, Arham Rahimy yang ditemui berkata, Kesedar terbuka untuk membincangkan tuntutan yang difikirkan munasabah dan mengangkat perkara itu kepada pihak pengurusan.

“Proses untuk membuat keputusan akan mengambil sedikit masa dan ruang tidak ditutup untuk mencari penyelesaian bersama,” ujar beliau.

Pada 21 Jun 2022, peserta projek berkenaan memfailkan saman tuntutan bernilai RM46 juta terhadap Kesedar kerana menamatkan perjanjian mengerjakan tanah ladang PAKS, 12 Februari lalu.