Bekas pegawai bank didakwa tipu pelaburan lebih RM110,000

M Pathmanathan mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menipu dengan memperdaya dua individu membuat pelaburan membabitkan kerugian lebih RM110,000.
M Pathmanathan mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menipu dengan memperdaya dua individu membuat pelaburan membabitkan kerugian lebih RM110,000.
A
A
A

KAMPAR - Bekas pegawai sebuah bank didakwa di Mahkamah Majistret Kampar pada Rabu atas dua pertuduhan menipu dengan memperdaya dua individu membuat pelaburan membabitkan kerugian lebih RM110,000.

M Pathmanathan, 43, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret A Hafiizh Abu Bakar.

Mengikut pertuduhan pertama, bapa kepada tiga anak itu didakwa memperdaya S Kogeelan, 32, untuk masuk pelaburan Maybank Bond/Affin Hwang Bond sehingga mendorongnya menyerahkan wang tunai berjumlah RM30,000 sebagai bayaran modal masuk.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Maybank Cawangan Kampar, Jalan Gopeng Kampung Masjid daerah Kampar sekitar jam 11 pagi pada 28 Mac 2023.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan modus operandi sama mendorong M Jessinta Mary, 52, menyerahkan wang berjumlah RM80,600 secara pindahan ke akaun miliknya bagi pelaburan daripada produk Maybank.

Perbuatan itu dilakukan di lokasi sama antara jam 1.22 tengah hari 25 Oktober 2021 sehingga 6.35 petang pada 22 September 2022.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara setahun hingga 10 tahun dan dengan sebat serta denda.

Timbalan Pendakwa Raya, M Esther Jacyntha menawarkan wang jaminan RM55,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Peguam Baldip Singh yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya memberi kerjasama baik sepanjang siasatan kes dilakukan tanpa niat melarikan diri.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM23,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Julai depan.