Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Kenaikan harga minyak dan permintaan kukuh daripada China untuk komoditi utama Malaysia, terutamanya minyak mendorong peningkatan ringgit. - Gambar hiasan - Foto 123RF
Kenaikan harga minyak dan permintaan kukuh daripada China untuk komoditi utama Malaysia, terutamanya minyak mendorong peningkatan ringgit. - Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

RINGGIT dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Rabu, disokong oleh kenaikan harga minyak dan permintaan kukuh daripada China untuk komoditi utama Malaysia, terutamanya minyak, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, unit tempatan naik kepada 4.6485/6535 berbanding dolar AS daripada 4.6570/6610 pada Selasa.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata, prospek lanjutan kredit kepada pemaju hartanah akan menyaksikan usaha China untuk mengewangkan projek dengan mempercepatkan pembinaan bagi memacu jualan dan meningkatkan permintaan terhadap komoditi.

Pihak berkuasa China juga telah mengumumkan langkah-langkah untuk menyokong sektor hartanah dengan membenarkan lanjutan pinjaman selama setahun untuk pemaju hartanah kategori sakit.

"Ini positif untuk dagangan ringgit hari ini. Bagaimanapun, pasaran menjangka penurunan dalam inflasi AS pada Rabu, tetapi sudah tentu, persoalannya ialah sejauh mana ia akan mengatasi konsensus,” katanya kepada Bernama.

Beliau menjelaskan data inflasi AS yang rendah akan menyebabkan dolar AS turun, justeru pengeksport tempatan mungkin menjual dolar AS untuk ringgit terutamanya apabila terdapat petunjuk yuan stabil.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpendapat bahawa mata wang tempatan akan disokong dengan baik hari ini berikutan jangkaan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang rendah di AS, yang akan dikeluarkan malam ini, mendapat lebih banyak momentum.

"Hasil Perbendaharaan AS susut lagi 3.96 peratus manakala Indeks Dolar AS (DXY) merosot kepada 101.496 mata.

"Paras sokongan segera berada pada 4.6257,” katanya.

Pada masa ini, harga minyak mentah Brent naik 0.14 peratus kepada AS$79.51 setong.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding yen Jepun kepada 3.3282/3320 daripada 3.3162/3193 pada Selasa dan rendah berbanding pound kepada 6.0193/6.0258 daripada 6.0136/0187, bagaimanapun meningkat berbanding euro kepada 5.1226/1282 daripada 5.1264/1308 sebelum ini.

Mata wang tempatan turut diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN lain.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4716/4756 daripada 3.4723/4755 pada Selasa dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 306.7/307.2 daripada 307.2/307.7 sebelum ini.

Bagaimanapun, unit tempatan rendah berbanding baht Thailand kepada 13.3885/4076 daripada 13.3780/3956 dan tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 8.42/8.45 daripada 8.42/8.43 semalam. - Bernama