Penunggang motosikal maut, nahas lori buat pusingan U

Seorang lelaki maut setelah motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah lori yang membuat pusingan U di Kilometer 46 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, di sini pada Selasa. - Gambar hiasan
Seorang lelaki maut setelah motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah lori yang membuat pusingan U di Kilometer 46 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, di sini pada Selasa. - Gambar hiasan
A
A
A

HULU SELANGOR - Seorang lelaki maut setelah motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah lori yang membuat pusingan U di Kilometer 46 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.55 pagi ketika mangsa yang merupakan lelaki warga tempatan dari arah Batang Kali menghala ke Rawang.

"Siasatan awal dijalankan mendapati lori jenis Daihatsu itu dipandu seorang lelaki berumur 65 tahun dari arah Ulu Yam Lama menuju ke Kuala Kubu Bharu.

"Pemandu lori tersebut kemudiannya membuat pusingan U sebelum melanggar motosikal ditunggang mangsa berumur 22 tahun itu," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya, pelanggaran itu mengakibatkan motosikal mangsa terbabas.

"Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk proses bedah siasat," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati lokasi kemalangan bukan kawasan dibenarkan untuk membuat pusingan U.

"Semakan mendapati pemandu lori terlibat tidak mempunyai sebarang rekod dan siasatan berkaitan kejadian masih dijalankan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.