Pesuruhjaya Pas Pahang dilantik Timbalan Pengerusi PAC negeri

Rosli Abdul Jabar
Rosli Abdul Jabar
A
A
A

KUANTAN - Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Pahang pada Isnin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur menerima surat lantikan daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dalam satu majlis di sini.

Selain Rosli, seorang lagi ADUN Panching daripada Pas, Mohd Tarmizi Yahaya turut dipilih sebagai ahli PAC.

ADUN Inderapura, Datuk Shafik Fauzan Sharif (UMNO) pula dipilih sebagai Pengerusi PAC negeri, manakala dua lagi ahli PAC adalah ADUN Padang Tengku (UMNO), Datuk Mustapa Long dan ADUN Sabai (MIC), V Arumugam.

Sementara itu, Mohd Tarmizi ketika dihubungi memberitahu, perbincangan awal sudah dilakukan selepas proses lantikan selesai pada Isnin petang.

"Setakat ini belum ada apa-apa isu, cuma kita bincang penambahbaikan dari segi audit negeri, sistem kewangan syarikat dan badan berkanun serta PBT (pihak berkuasa tempatan) di negeri Pahang supaya lebih baik daripada sebelum ini," ujarnya ringkas.