PRN: PH-BN mampu menang majoriti mudah di Kedah - Mahfuz

Mahfuz
Mahfuz
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) diyakini mampu memperoleh kemenangan dengan majoriti mudah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah akan datang.

Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, ramalan kemenangan itu berdasarkan kepada formula 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berada dalam tangan gabungan berkenaan.

Ujar beliau, ia dilihat berasaskan data dan statistik yang ada, bukan sekadar berangan kosong.

“Apabila kita kata 16 kerusi (DUN) dalam tangan, Menteri Besar (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) sebut PH dan BN sekadar berangan, sedangkan kita buat simulasi angka dan bersikap realistik.

“Kita hanya perlukan tiga kerusi lagi untuk memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri pimpinan PH dan BN,” katanya selepas program Galeri Madu Kelulut Bukit di Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Terengganu pada Isnin.

Dalam pada itu, menurut beliau, keputusan berhubung pemilihan calon serta proses agihan kerusi bagi gabungan PH-BN untuk PRN di enam negeri itu bakal dimuktamadkan tidak lama lagi.

“Kita akan umum jumlah kerusi dan calon gagasan perpaduan PH dan BN serentak dalam seminggu ini.

“Di Terengganu juga insya-ALLAH ada ruang untuk Parti Amanah Negara (Amanah) bertanding,” jelasnya.