TMJ adakan lawatan rasmi tiga hari ke Singapura

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan melakukan lawatan rasmi ke Singapura selama tiga hari bermula Isnin.

Menerusi muat naik di laman Facebook HRH Crown Prince of Johor, lawatan rasmi itu atas undangan Menteri Ehwal Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan.

Baginda akan ditemani isteri Che' Puan Besar Khaleeda Bustamam serta pegawai istana dan pemimpin negeri Johor.

"Dalam lawatan ini, Perdana Menteri Singapura, Datuk Lee Hsien Loong dan Datin Paduka Ho Ching akan menjadi tuan rumah kepada baginda dan Che' Puan Besar Khaleeda untuk sesi minum teh.

"Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan dan isterinya pula akan menjadi hos bagi jamuan makan malam sebagai memberi penghormatan kepada pasangan diraja.

"Baginda juga akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Singapura dan Menteri Kewangan, Lawrence Wong," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Baginda juga juga akan diiringi oleh Menteri Negara Kanan (Pertahanan) Singapura, Zaqy Mohamad dalam lawatan ke Kem Komando Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

"Menteri Negara (Pendidikan), Gan Siow Huang akan mengiringi baginda mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kuo Chuan Presbyterian.

"Seterusnya, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Singapura, Edwin Tong akan mengiringi baginda bagi menyaksikan sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Persatuan Bola Sepak Johor dan Persatuan Bola Sepak Singapura yang melibatkan kerjasama dalam pembangunan bola sepak termasuk pembentukan kejohanan acara bola sepak tahunan antara pasukan Pilihan Johor dan Pilihan Singapura mulai 2024," katanya.