Puasa latih umat Islam kawal nafsu

Tun Dr Mahathir menyampaikan ucapan kepada warga Jabatan Perdana Menteri semasa sesi perjumpaan dengan warga itu di Dataran Perdana di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Tun Dr Mahathir menyampaikan ucapan kepada warga Jabatan Perdana Menteri semasa sesi perjumpaan dengan warga itu di Dataran Perdana di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yakin dunia akan menghormati negara ini sekiranya rakyat Malaysia berjaya menolak nafsu daripada melakukan perkara yang tidak baik.

Beliau berkata, apabila Malaysia dikenali sebagai rakyat yang kuat menolak nafsu maka secara tidak langsung negara akan mendapat kepercayaan pelbagai pihak di seluruh dunia.

"Menerusi kepercayaan ini kita bakal memperoleh banyak manfaat dan peluang dalam melakukan segala-galanya.

"Ini termasuklah, peluang kenaikkan pangkat kerana hanya orang yang berjaya menolak nafsu akan dipercayai dalam kalangan pegawai dan pemimpin ketika melakukan urusan harian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut menasihatkan supaya umat Islam mengamalkan sikap mengawal nafsu sepanjang bulan Ramadan.

"Nafsu sentiasa mendorong manusia melakukan perkara dilarang dan tidak baik untuk diri sendiri. Jika ia gagal dikawal kesannya kita akan berdepan banyak masalah.

"Sebagai contoh, sekiranya tidak mampu melawan nafsu ketika dihulurkan rasuah maka kita akan menjadi manusia lemah memandangkan rasuah merupakan gejala yang tidak baik dan dilarang agama," tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, orang lemah tidak mungkin berjaya kerana kejayaan hanya milik individu yang kuat khususnya dalam melawan nafsu.

"Sehubungan itu, berpuasa bukan untuk mendapat ganjaran pahala semata-mata tetapi, ibadah ini melatih dan membentuk keperibadian kita ke arah yang lebih baik serta berdisiplin," ujarnya.