Tawaran RM418 juta Bayern beli Kane belum cukup pikat Spurs

Kane - Foto Agensi
Kane - Foto Agensi
A
A
A

TAWARAN bernilai 70 juta pound (RM418 juta) masih belum cukup bagi memikat hati Tottenham Hotspur untuk melepaskan penyerang sensasi, Harry Kane.

Spurs dilaporkan menolak tawaran kedua termasuk bayaran tambahan yang dibuat Bayern Munich bagi mendapatkan khidmat kapten berusia 30 tahun itu.

Bayern membuat tawaran lumayan itu selepas mengetahui Kane berminat untuk menyertai mereka ketika kontraknya bersama Spurs berbaki setahun lagi.

Juara Jerman itu berharap Spurs akan menjual Kane atau bakal kehilangannya secara percuma pada musim panas akan datang.

Bagaimanapun, tawaran lumayan tersebut masih belum dapat memenuhi harga yang dihajati Spurs.

Bos Bayern, Thomas Tuchel menjadikan Kane sasaran utamanya bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Robert Lewandowski tahun lalu.

Bagaimanapun pengerusi Spurs, Daniel Levy berat hati untuk menjual aset berharga mereka yang meledak 32 gol musim lalu.

Kane dijangka kembali menjalani latihan pramusim pada Rabu ini.

Spurs dijadualkan berkunjung ke Australia, Thailand dan Singapura bagi jelajah pramusim bermula Jumaat ini ketika masa depan ayam tambatan mereka itu masih misteri.