Apa formula PH-BN kekal di Selangor?

No Image Caption
A
A
A

PADA Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Pakatan Harapan (PH) mendominasi 51 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di mana ketika itu berlakunya tsunami rakyat yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) tersungkur selepas lebih 60 tahun memerintah.

PH yang ketika itu diperkuatkan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut menguasai 20 dari pada 22 kerusi Parlimen yang dipertandingkan. BN ketika itu hanya memenangi empat kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen manakala Pas dengan satu kerusi DUN.

Dan pada PRU15 yang hanya menyaksikan kerusi Parlimen dipertandingkan di Selangor, PH kehilangan empat kerusi yang dimenangi di mana hanya memenangi 16 kerusi, menjadikan penguasaan mereka sedikit tergugat walaupun kekal mendominasi negeri paling kaya di Malaysia ini.

Namun, dalam tempoh menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan, timbul persoalan adakah PH yang kini bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dapat dipertahankan penguasaan mereka pada PRN yang akan diadakan serentak melibatkan enam negeri.

Pada PRU15, faktor tercetusnya gelombang hijau memperlihatkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan sebahagian kawasan di Pulau Pinang serta Selangor menjadi milik Perikatan Nasional (PN) yang dikuasai oleh Pas serta Bersatu.

Dan PRN ini juga menjadi medan ujian pertama buat kerjasama Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuktikan penguasaan mereka bukan sahaja di Selangor malah lima negeri lain.Sedikit sebanyak, dua faktor itu menjadi indikator penguasaan PH dan BN di Selangor.

Mengimbas hari pengundian yang diumumkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berlaku sedikit kegusaran melibatkan pembahagian kerusi antara PH dan BN.

Pun begitu, agihan kerusi antara PH dan BN di Selangor dimuktamadkan dengan BN diperuntukkan lebih 20 peratus kerusi dipertandingkan.

Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Menteri Besar Selangor berkata, pecahan pembahagian kerusi itu sudah dipersetujui Anwar selaku Pengerusi PH dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Mengambil kira semua faktor terbabit Amirudin menegaskan, agihan itu adalah munasabah dan diterima baik.

Sebelum ini, BN menyasarkan untuk bertanding 14 kerusi dalam PRN, mengambil kira kedudukan PH yang memenangi 16 daripada 22 kerusi Parlimen di Selangor pada PRU15 lalu.

Selain isu membabitkan agihan kerusi, keputusan dua parti komponen BN iaitu MCA dan MIC yang mengumumkan tidak akan bertanding turut mensensasikan lagi kehangatan pilihan raya kali ini.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon dilaporkan berkata, keputusan ini dicapai selepas perbincangan secara mendalam dan analisis serta mengambil kira situasi politik semasa di mana parti akan melaksanakan pembaharuan dan kebangkitan semula.

Sementara Setiausaha Agung MIC, RT Rajasekaran dalam kenyataannya berkata, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang berlangsung pada 30 Jun lalu setelah meneliti keadaan politik semasa dan mendengar pandangan setiap ahli CWC.

Namun, parti kaum India itu berjanji akan melaksanakan peranannya sebagai parti komponen BN dan keputusan parti sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri sebagai Pengerusi Kerajaan Perpaduan.

Dengan dua isu yang dapat ditangani pada peringkat awal, Amirudin menjelaskan, meletakkan sasaran memenangi dua pertiga kerusi DUN sekali gus mampu membentuk kerajaan negeri adalah realistik.

Pun begitu, laluan PH dan BN dalam PRN di Selangor bukanlah mudah jika mengambil kira kekuatan PN yang sebelum ini berjaya menang enam kerusi Parlimen iaitu Parlimen Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjung Karang, Kapar, Kuala Langat dan Hulu Selangor pada PRU15 lalu.

Tambahan pula kajian pra-PRN dilakukan Ilham Centre yang mendapati PN mampu menang 29 daripada 34 kerusi DUN yang mempunyai majoriti pengundi Melayu-Islam, andai kata peralihan undi terutama orang Melayu dan golongan atas pagar berlaku dengan lebih drastik.

Jadi dalam menentukan PH dan BN terus berkuasa di Selangor, formula yang terbaik perlu diketengahkan supaya penguasaan mereka di Selangor tidak berakhir pada pentas PRN nanti.

* Mohd Azlim Zainury ialah Wartawan Sinar Harian Selangor/Kuala Lumpur