14 maut hujan lebat landa utara India

Kenderaan terkandas selepas hujan lebat di Delhi pada Sabtu. - Foto AFP
Kenderaan terkandas selepas hujan lebat di Delhi pada Sabtu. - Foto AFP
A
A
A

NEW DELHI - Hujan lebat melanda wilayah utara India mengorbankan sekurang-kurangnya 14 nyawa manakala infrastruktur jalan raya rosak di kebanyakan negeri sejak Sabtu.

Delhi merekodkan taburan hujan 153 milimeter (mm) dalam tempoh 24 jam sehingga 8.30 pagi Ahad, tertinggi pada Julai dalam tempoh 40 tahun, menurut laporan media tempatan.

Pegawai negeri Delhi terpaksa membatalkan cuti pada Ahad bagi memeriksa air bertakung di bandar itu kerana banyak kawasan dinaiki air.

Di Gurugram, New Delhi, pentadbiran tempatan menasihatkan syarikat untuk membenarkan pekerja untuk bekerja dari rumah pada Isnin dan meminta orang ramai untuk tidak keluar kecuali perlu.

Di Himachal Pradesh, Uttarakhand, Punjab dan Haryana, terdapat laporan mengenai lebuh raya rosak, air sungai meningkat dan tanah runtuh.

Tiga orang terbunuh manakala tiga lagi hilang selepas sebuah kereta yang membawa 11 penumpang terjunam ke dalam sungai Ganga di daerah Tehri Garhwal di Uttarakhand.

Sebuah rumah runtuh mengorbankan tiga ahli keluarga di Himachal, manakala banyak kedai dan ATM dihanyutkan di sungai Beas.

Dua askar turut terkorban dalam kejadian banjir kilat di Jammu dan daerah Poonch di Kashmir, manakala kejadian tanah runtuh dan penutupan jalan dilaporkan di pelbagai lokasi di wilayah itu.

Chandigarh merekodkan taburan hujan 322 mm sejak Sabtu, yang tertinggi setakat ini untuk tempoh 24 jam.

Perjalanan rentas negeri turut terjejas di utara India akibat musim tengkujuh. - Bernama