Besbol miliki peluang dipertandingkan dalam Sukma

Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Lailatul Shahreen bergambar bersama para pemain selepas perasmian Liga Besbol Kebangsaan 2023 di Padang Besbol UPM pada Ahad. - Foto Bernama
Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Lailatul Shahreen bergambar bersama para pemain selepas perasmian Liga Besbol Kebangsaan 2023 di Padang Besbol UPM pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

BESBOL berpotensi dipertandingkan pada Sukan Malaysia (Sukma) sekiranya sukan itu terus dipromosikan terutama di peringkat universiti.

Malah, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail menegaskan semua negeri perlu memainkan peranan mempopularkan sukan itu dengan MSN akan turut komited menjadikannya sukan utama dalam kalangan pelajar universiti.

“Sukan besbol lebih popular berbanding bola lisut. Potensi besbol ini mungkin boleh menjadi satu sukan utama dalam kalangan pelajar universiti.

“Kita harap ia boleh jadi satu budaya di universiti seperti di Amerika Syarikat dan kita harapkan perkara ini diketengahkan oleh Persekutuan Besbol Malaysia (PBM),” katanya selepas ditemui pada Majlis Perasmian Liga Besbol Kebangsaan di Padang Besbol Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada Ahad.

Terdahulu, Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyempurnakan perasmian Liga Besbol Kebangsaan 2023.

Hadir sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Presiden PBM Sazali Husain.

Liga Besbol Kebangsaan 2023 merupakan kali pertama dianjurkan PBM bersama penaja AEON BiG Sdn Bhd, Kementerian Belia dan Sukan serta MSN.

Liga Besbol yang berlangsung selama enam minggu bermula 10 Jun lalu pada setiap Sabtu dan Ahad disertai oleh 184 peserta berusia 20 hingga 30 tahun dari lapan negeri iaitu Perlis, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. - Bernama