Ahmad Zahid yakin MIC, MCA tetap bersama BN

Ahmad Zahid ditemui selepas Majlis Perasmian Minggu Usahawan Negara (MUN) dan Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) 2023 Peringkat Kebangsaan pada Ahad.
Ahmad Zahid ditemui selepas Majlis Perasmian Minggu Usahawan Negara (MUN) dan Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) 2023 Peringkat Kebangsaan pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin bahawa MCA dan MIC akan tetap bersama parti gabungan tersebut.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tawaran yang dibuat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kepada MIC dan MCA untuk menyertai PN.

Menurut Ahmad Zahid, sudah menjadi kebiasaan apabila menjelang pilihan raya, terdapat parti lawan memberikan tawaran untuk membentuk kerajaan.

“Di mana-mana Pilihan Raya Kecil (PRK), Pilihan Raya Negeri (PRN) tambahan pula Pilihan Raya Umum (PRU), mesti tawaran ini akan dilakukan oleh mereka.

“MCA, MIC akan tetap bersama dalam BN,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Minggu Usahawan Negara (MUN) dan Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) 2023 Peringkat Kebangsaan pada Ahad.

Sebelum ini, pada 7 Julai, PN tidak keberatan memberikan kerusi kepada MCA dan MIC untuk bertanding dalam PRN nanti sekiranya dua parti itu meninggalkan BN.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN turut mencadangkan MCA dan MIC menyertai PN bertanding di kerusi campuran pada PRN tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menolak untuk meninggalkan BN bagi menyertai PN.

Selain itu, Ahmad Zahid turut mengucapkan tahniah kepada Bekas Timbalan Ketua UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Kita hanya perlukan ahli UMNO yang setia sahaja untuk berada dalam UMNO dan BN,” ujarnya.