Jun Hao tepati ramalan juara kebangsaan

Jun Hao (kanan) dan Shaqeem bergambar pada majlis penyampaian trofi dan pingat di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Ahad. - Foto Bernama
Jun Hao (kanan) dan Shaqeem bergambar pada majlis penyampaian trofi dan pingat di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

SEPERTI diramal, pemain perseorangan lelaki, Leong Jun Hao meraih gelaran sulung dalam kariernya pada Kejohanan Badminton Kebangsaan.

Dalam aksi final di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur sebentar tadi, Jun Hao yang tampil selaku pilihan pertama, mudah melakar kemenangan 21-16, 21-13 ke atas juniornya, Muhammad Shaqeem Eiman Shahyar.

Kejayaan itu menyaksikan Jun Hao yang sekadar muncul naib juara edisi 2019 meletakkan namanya sebaris dengan barisan jaguh badminton negara termasuklah Datuk Lee Chong Wei selaku juara kebangsaan.

"Sudah tentu saya cukup gembira dengan kemenangan hari ini, apatah lagi ia merupakan gelaran pertama saya pada Kejohanan Kebangsaan.

"Saya harap kejayaan ini menjadi pembakar semangat buat saya untuk memburu kejuaraan di peringkat antarabangsa," katanya sejurus tamat aksi final.

Selaku juara, Jun Hao membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, pingat serta piala pusingan, manakala Shaqeem berpuas hati dengan RM5,000 dan pingat.

Letshanaa meraikan kejayaannya muncul juara Kejohanan Badminton Kebangsaan 2023 di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Ahad. - Foto Bernama
Letshanaa meraikan kejayaannya muncul juara Kejohanan Badminton Kebangsaan 2023 di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Ahad. - Foto Bernama

Jun Hao yang juga bekas juara remaja Asia terlepas gelaran juara kebangsaan pada edisi 2019 selepas terpaksa menarik diri ketika berdepan Soong Joo Ven di pentas final akibat kecederaan.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita, K Letshanaa yang muncul selaku pilihan kedua kejohanan menyambar gelaran juara selepas menewaskan Wong Ling Ching 16-21, 21-17, 21-19.

Terdahulu, gandingan beregu campuran, Yap Roy King-Valeree Siow yang juga pilihan pertama muncul juara apabila menewaskan gandingan Choong Hon Jian-Go Pei Kee 21-19, 21-18.

Dalam saingan beregu lelaki, gelaran juara menjadi milik Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King yang mengatasi Low Hang Yee-Ng Eng Cheong 21-17, 21-12.

Gandingan Vivian Hoo-Lim Chiew Sien pula menepati ramalan selaku beregu wanita pilihan utama apabila mengesahkan kejuaraan selepas menang 21-13, 21-7 ke atas Cheng Su Hui-Vanessa Ng.