Kes kumulatif denggi meningkat 139 peratus - Dr Zaliha

Dr Zaliha dan Amirudin ketika pelepasan mobilisasi jururawat pelatih pada Majlis Pelancaran Madani Afiat dan Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0 dan One Hour Malaysia Clean Up Peringkat Kebangsaan di Dewan Rakyat Batu Caves, pada Ahad. - Foto Bernama
Dr Zaliha dan Amirudin ketika pelepasan mobilisasi jururawat pelatih pada Majlis Pelancaran Madani Afiat dan Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0 dan One Hour Malaysia Clean Up Peringkat Kebangsaan di Dewan Rakyat Batu Caves, pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

GOMBAK - Kes kumulatif demam denggi dalam negara meningkat 139 peratus dengan jumlah 59,057 kes bagi tempoh Januari sehingga Julai tahun ini berbanding 24,743 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, dalam tempoh sama, kadar kematian bagi penyakit itu juga dilaporkan meningkat 122 peratus melibatkan 40 kes kematian berbanding 18 kes kematian pada tahun lepas.

"Bagi negeri Selangor pula, sebanyak 29,382 kes telah dilaporkan bermula bulan Januari sehingga 2 Julai 2023 berbanding 15,207 kes pada tempoh sama pada tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 93 peratus manakala tujuh kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan di negeri Selangor sehingga kini.

"Justeru, program Gotong Royong Mega Perangi Aedes 1.0 yang diadakan pada hari ini merupakan inisiatif Kementerian Kesihatan (KKM). Ia akan diadakan sebanyak dua kali setiap tahun dengan penglibatan semua agensi dan komuniti dalam menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes," katanya selepas merasmikan program MADANI Afiat di Dewan Rakyat Batu Caves, pada Ahad.

Beliau berkata, bagi memastikan tingkah laku memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes dalam kalangan masyarakat dilakukan secara konsisten, KKM turut memperkenal dan melancarkan inisiatif One Hour Malaysia Clean Up bagi memastikan usaha itu dapat direalisasikan.

Dalam program sama, Dr Zaliha turut mengumumkan agar inisiatif One Hour Malaysia Clean Up itu dijadikan sebagai aktiviti bulanan yang akan dilakukan pada setiap hari Sabtu minggu keempat setiap bulan dalam usaha mengurangkan kes bagi penyakit berkenaan.

"Oleh itu, semua rakyat Malaysia sama ada dari agensi kerajaan, swasta, komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO) disarankan untuk bersama-sama menjadikan program ini sebagai aktiviti bulanan yang diharapkan dapat mengurangkan kes demam denggi dan risiko kematian akibat demam denggi dalam negara kita," katanya.

Mengulas mengenai kes denggi di Selangor, Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif seperti One Hour Malaysia Clean Up itu dilihat mampu mengurangkan kes denggi dengan adanya penglibatan aktif masyarakat dalam aktiviti gotong-royong.

"Apa yang penting adalah untuk kita gariskan isu ini (beri tumpuan) dan menggalakkan masyarakat untuk turut sama terlibat dan peka tentang penyakit demam denggi. Kerana ini soal kesihatan awam yang perlukan kerjasama dan penglibatan daripada setiap lapisan masyarakat," katanya. - Bernama