Lelaki guna parang ketika bertengkar ditahan, pemandu Ford Ranger dicari

Video tular yang memaparkan seorang lelaki memegang sebilah parang dalam pertengkaran di stesen minyak di kawasan RnR Gurun pada 1 Julai lalu.
Video tular yang memaparkan seorang lelaki memegang sebilah parang dalam pertengkaran di stesen minyak di kawasan RnR Gurun pada 1 Julai lalu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Polis menahan lelaki berusia 35 tahun selepas membuat laporan polis susulan video tular di media sosial memaparkan dia mengacu parang dalam pertengkaran membabitkan seorang individu di stesen minyak di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Gurun pada 1 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, lelaki berkenaan yang juga pemandu lori ditahan reman selama tiga hari selepas tampil membuat laporan polis pada jam 7.14 malam Sabtu, manakala polis masih mencari pemandu Ford Ranger untuk membantu siasatan.

Menurutnya, dalam kejadian jam 7.40 malam itu, lelaki berkenaan mendakwa telah diugut oleh pemandu Ford Ranger sebelum dia mengeluarkan sebilah parang yang disimpan dalam kenderaannya.

"Satu pasukan anggota Task Force Balai Polis Gurun telah ke lokasi kejadian dan pengurus cawangan stesen minyak itu mengesahkan kejadian tersebut.

"Semakan video yang ditularkan mendapati lelaki itu sedang memandu lori keluar dari hentian Bukit Kobah, Pendang, Lebuhraya Utara ke Selatan dan berlaku perselisihan faham dengan seorang lelaki yang memandu sebuah pacuan empat roda Ford Ranger, gara-gara pemandu itu membunyikan hon.

"Perselisihan faham antara mereka berterusan sehingga sampai di tempat kejadian. Pemandu lori mendakwa diugut pemandu Ford Ranger, menyebabkan dia mengeluarkan sebilah parang yang disimpan di dalam lorinya," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambah beliau, usaha mengesan serta menahan pemandu Ford Ranger sedang dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 (1) Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, polis juga meminta pemilik akaun Facebook dan saksi kejadian yang mempunyai maklumat supaya menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Sabri Salamat di talian 014 6727927 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, tular satu rakaman video pergaduhan dua pengguna jalan raya dipercayai berlaku di sebuah stesen minyak dipercayai berlaku di kawasan RnR Gurun, Kedah.

Klip berdurasi 31 saat itu memaparkan seorang lelaki sedang berang selain memegang senjata dipercayai sebilah parang.