'Saya bukan scammer' - Erfan

Situasi Kelantan FC masih menjadi tanda tanya dalam kalangan penyokong mereka di sebalik isu penjualan kelab itu ketika ini. - Foto FB TRW Kelantan FC
Situasi Kelantan FC masih menjadi tanda tanya dalam kalangan penyokong mereka di sebalik isu penjualan kelab itu ketika ini. - Foto FB TRW Kelantan FC
A
A
A

PEMILIK Erfan Gym & Fitness, Erfan Akif Ruslan menegaskan beliau bukan scammer sebagaimana tuduhan yang dilemparkan oleh segelintir pihak sebaik sahaja mengumumkan hasrat untuk mengambil alih pasukan Kelantan FC.

Pemuda berusia 30-an itu sebaliknya berkata, beliau serius dan tidak akan berganjak dengan hasrat tersebut.

"Saya harap penyokong setia The Red Warriors (TRW) bertenang dan lihat hasilnya.

"Bila ada pihak hendak beli dan baiki TRW, macam-macam spekulasi yang keluar sehingga saya dituduh inginkan publisiti murahan," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Menurut beliau, satu pertemuan dengan pemilik pasukan, Norizam Tukiman akan diadakan dalam masa terdekat untuk membincangkan perkara tersebut.

Ujarnya, perbincangan itu menunjukkan betapa seriusnya beliau mahu bersama TRW dan mengembalikan semula kegemilangan pasukan tersebut dalam arena bola sepak tempatan.

Erfan Akif memberitahu, berkait dengan kemampuan kewangan perkara tersebut tidak boleh didedahkan kepada umum.

Kata beliau, semua itu akan dapat dilihat apabila perkara tersebut selesai dengan jayanya.

Dalam perkembangan lain, Erfan Akif mendedahkan berlaku kekeliruan berhubung kenyataan berkaitan beliau memiliki lombong emas.

"Bukan lombong emas tetapi saya memiliki perniagaan kedai emas bersama keluarga.

"Saya telah betulkan tetapi ramai tidak sedar sehingga menimbulkan persepsi negatif," katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang menyebar pelbagai fitnah terhadapnya.

Sebelum itu tular hantaran di media sosial yang mendakwa pemilik Erfan Gym & Fitness sebagai scammer dan mencari publisiti murahan.

ARTIKEL BERKAITAN:Norizam teruja tawaran RM10 juta daripada Erfan

Erfan Gym & Fitness serius ambil alih Kelantan FC