Ibu gadai barang kemas demi gapai cita-cita anak

Muhammad Hilman (dua dari kiri) bersama ibu bapa dan Seah Shoo Chin (tiga dari kiri) selepas pelancaran Cawangan Hillmen Hairstudio MiTC Ayer Keroh pada Sabtu.
Muhammad Hilman (dua dari kiri) bersama ibu bapa dan Seah Shoo Chin (tiga dari kiri) selepas pelancaran Cawangan Hillmen Hairstudio MiTC Ayer Keroh pada Sabtu.
A
A
A

MELAKA - Demi memastikan cita-cita anak menjadi tukang gunting rambut berjaya tercapai, seorang ibu lapan anak sanggup menggadaikan barangan kemas sebagai modal perniagaan untuk anaknya.

Fariza Ismail, 52, yang berasal dari Marang, Terengganu berkata, sebagai ibu perlu menyokong impian anak dan harus yakin setiap anak mempunyai kelebihan dan keunikan masing-masing.

Menurutnya, berbekalkan wang gadaian barang kemas berjumlah RM10,000, anaknya, Muhammad Hilman Mohd Rosli, 26, kemudian berhijrah ke Melaka membuka salon rambut Hillmen Hairstudio cawangan pertama pada tahun 2016.

"Cawangan pertama di Masjid Tanah, kedua di Sungai Udang sebelum berjaya membuka cawangan ketiga di MiTC, Melaka.

"Melihat kegigihannya yang sebelum ini sanggup melakukan kerja tukang gunting rambut sambilan sehingga jam 2 pagi ketika masih belajar, buat saya percaya dia boleh berjaya.

"Anak-anak perlu diberikan sokongan keluarga, jangan kita pandang rendah dan sehingga sekarang dia akan hubungi saya dan minta doa dan restu saya," katanya.

Muhammad Hilman (tengah) dicium ibu bapanya.
Muhammad Hilman (tengah) dicium ibu bapanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran cawangan Hillmen Hairstudio yang disempurnakan oleh Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Allex Seah Shoo Chin di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Hilman berkata, walaupun belajar dalam bidang automotif, namun minat mendalam dalam bidang gunting rambut menyebabkan dia sanggup merantau dan berdikari termasuk ketika pandemik Covid-19.

Menurutnya, keunikan yang diperkenalkan dengan memastikan semua pekerja di salon rambut ini mengenakan pakaian seragam lengkap bertali leher bagi mewujudkan kelainan kepada pelanggannya.

"Pelanggan saya bukan sahaja dalam kalangan penduduk negeri ini malah ada pelanggan luar Melaka yang sanggup datang untuk dapatkan perkhidmatan yang ditawarkan.

"Jadi secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan sektor pelancongan negeri Melaka lebih-lebih lagi tahun Melawat Melaka pada tahun depan," katanya.