'Kerajaan sekarang sangat cacamarba' - Zuraida

Zuraida
Zuraida
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Datuk Zuraida Kamaruddin menyifatkan kerajaan sedia ada sebagai cacamarba.

Menurutnya, ia disebabkan oleh tiga faktor utama seperti kleptokrasi, liberisme dan antikerajaan yang tidak boleh dibiarkan berlaku dalam negara.

"Saya tidak mewakili mana-mana parti untuk pilihan raya negeri (PRN) kali ini tetapi saya akan menyokong Perikatan Nasional (PN) nanti.

"Ia boleh digunakan sebagai platform untuk menggerakkan usaha mendapatkan semula hak Melayu," katanya ketika sidang media program Bicara Bangsa Tanah Aku Dulu, Kini, Ke Hadapan bersama beliau anjuran Proklamasi Orang Melayu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau berkata, tumpuan kini diberikan kepada PN Selangor kerana kemenangannya penting sebagai platform menaikkan semula orang Melayu.

Justeru, beliau mengingatkan calon yang bakal bertanding agar mempunyai kredibiliti, berpengalaman dan mampu menarik perhatian pengundi.

"Dalam masa sama, ia secara tidak langsung akan memberi kesan kepada kerajaan pusat pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ini akan menarik lebih ramai ahli Parlimen tampil berani untuk bertindak menarik sokongan terhadapnya," jelasnya.

Sementara itu, Zuraida berkata, kes tuntutan saman RM10 juta terhadapnya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) belum lagi muktamad kerana beliau telah membuat rayuan.

"Kes itu masih di peringkat rayuan dan prosesnya mengambil masa. Saya akan lawan," ulasnya.