Operasi cari kanak-kanak jatuh sungai diperluas

Op SARS diteruskan pada hari keempat bagi mencari dan menyelamat seorang kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas di Sungai Desa Alam Ria, Batang Kali, Selangor.
Op SARS diteruskan pada hari keempat bagi mencari dan menyelamat seorang kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas di Sungai Desa Alam Ria, Batang Kali, Selangor.
A
A
A

BATANG KALI - Usaha mencari seorang kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas di Sungai Desa Alam Ria, dekat sini diperluaskan pada hari keempat operasi menyelamat.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, operasi mencari dan menyelamat (Op SARS) daripada pelbagai agensi penyelamat telah dimulakan pada Rabu dan diperluaskan lagi kawasan pencarian pada hari ini.

Beliau berkata, pencarian dan mengesan mangsa diteruskan dengan penglibatan semua agensi melibatkan kekuatan 34 anggota dan pegawai daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) seramai 27 orang serta lain-lain agensi (32).

"Op SARS ini turut menggunakan bot, Unit K9 serta penglibatan satu unit drone PDRM.

"Kerja-kerja mengesan dan menyelamat mangsa meliputi radius pencarian sejauh 20 kilometer sepanjang Sungai Rasa," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Negeri Selangor dalam satu kenyataan berkata, Op SARS yang bermula jam 9 pagi ini dipecahkan kepada dua sektor.

Katanya, ia melibatkan enam buah bot yang dibantu oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Selangor, Unit K9 JBPM bersama anjing Blake dan Pop serta daripada agensi bantuan lain.

Menurutnya, misi pencarian dilaksanakan menerusi kaedah Water Surface Searching iaitu menyusur kiri dan kanan sungai bermula dari hulu ke hilir.

"Ia bermula dari tempat mangsa dilaporkan jatuh sehingga ke Sungai Rasa yang dianggarkan sejauh 20 kilometer," katanya.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan bahawa seorang kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Batang Kali berhampiran Desa Alam Ria, Hulu Selangor di sini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Ahmad Ammar Akhtar Tajul Azwa dan kejadian berlaku sekitar 7.15 malam tadi (Rabu).