Majoriti kanak-kanak 5 tahun di Pahang gigi rosak

Dr Nor Azimi meninjau aktiviti pemeriksaan gigi sempena Sambutan Minggu Promosi Kesihatan Pergigian Peringkat Negeri Pahang di Kotasas pada Sabtu.
Dr Nor Azimi meninjau aktiviti pemeriksaan gigi sempena Sambutan Minggu Promosi Kesihatan Pergigian Peringkat Negeri Pahang di Kotasas pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 80.5 peratus kanak-kanak berusia lima tahun di Pahang mengalami karies gigi (kerosakan gigi) iaitu kelima tertinggi di negara ini berdasarkan hasil tinjauan kesihatan mulut kebangsaan bagi kanak- kanak prasekolah pada 2015.

Pahang turut berada pada kedudukan kelima tertinggi dengan 40.1 peratus kanak-kanak berusia 12 tahun mengalami kerosakan gigi hasil tinjauan pada 2017.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, berdasarkan tinjauan yang dibuat setiap 10 tahun itu, karies gigi dalam kalangan kanak-kanak lima tahun dan 12 tahun masih menjadi masalah utama di negeri ini.

Menurutnya, hasil kajian mendapati masalah itu berkemungkinan berpunca daripada tahap kesedaran terhadap kepentingan pemeriksaan kesihatan pergigian yang masih rendah dalam kalangan masyarakat.

"Kita dapati kadar penggunaan fasiliti pergigian dalam kalangan penduduk negeri Pahang hanya 24.6 peratus atau satu dalam empat orang penduduk sahaja yang menggunakan perkhidmatan kesihatan pergigian awam.

"Sedangkan di Pahang terdapat 73 buah fasiliti kesihatan pergigian primer yang menyediakan rawatan asas pergigian dengan 64 daripadanya dibuka setiap hari manakala sembilan lagi menyediakan perkhidmatan secara lawatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian penutup Sambutan Minggu Promosi Kesihatan Pergigian Peringkat Negeri Pahang di Kotasas di sini pada Sabtu.

Dr Nor Azimi berkata, selain masalah kerosakkan gigi dalam kalangan kakak-kanak, hasil tinjauan kesihatan pergigian bagi orang dewasa pada 2010 mendapati 90.5 peratus golongan itu di Pahang mengalami kerosakan gigi dan 82 peratus mengalami masalah gusi.

Beliau berkata, selain fasiliti kesihatan pergigian sedia ada, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) turut menyediakan tiga klinik pergigian bergerak di Kuantan, Maran dan Lipis bagi memberikan perkhidmatan kepada masyarakat melalui Program Kesihatan Pergigian Jangkau Luar.

"Selain itu terdapat lapan jenis perkhidmatan kepakaran pergigian yang disediakan di klinik dan hospital di seluruh negeri ini

"Pelbagai program jangkau luar juga telah dirancang dengan kerjasama pelbagai pihak.

"Tahun lalu, sebanyak 39 program kolaborasi bersama institusi agama telah diadakan selain di pusat pengajian tinggi, institusi warga emas, pusat pemulihan dalam komuniti, kampung angkat dan kampung Orang Asli," ujarnya.

Dr Nor Azimi berkata, penduduk negeri Pahang disaran menggunakan fasiliti klinik pergigian yang terdekat untuk menjalani pemeriksaan kesihatan pergigian sekurang-kurangnya sekali setahun agar pencegahan dan rawatan awal dapat dijalankan bagi mengelak masalah pergigian yang serius.

Menurutnya, Minggu Promosi Kesihatan Pergigian merupakan salah satu program kesihatan pergigian Kementerian Kesihatan (KKM) bertujuan untuk meningkatkan tahap kesihatan pergigian pesakit melalui pengukuhan penjagaan kendiri dan pemerkasaan komuniti serta pencegahan penyakit pergigian melalui saringan awal.

" Aktiviti ini disambut pada Julai setiap tahun dengan tema yang berbeza dan tahun ini ia disambut bermula 3 sehingga 9 Julai dengan tema “Mulut Sihat, Pilihan Saya”," jelas beliau.