Kerajaan bantu penstrukturan semula pinjaman Felda - PM

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menandatangani perjanjian melibatkan jaminan kerajaan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk menstruktur semula pinjaman agensi tersebut.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, ia melibatkan terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan Felda.

“Jaminan kerajaan ini dijangka dapat menstabilkan kedudukan kewangan Felda serta menjamin model perniagaan yang lebih mampan supaya ia terus berupaya mengangkat mobiliti sosial warga peneroka dan generasi baharu Felda,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelas Anwar, sebahagian besar penstrukturan semula pinjaman Felda ini akan melibatkan pengurangan prinsipal hutang Felda bersama institusi kewangan sebanyak RM7.9 bilion.

Beliau berkata, ia juga akan mengurangkan kos kewangan Felda terhadap kadar faedah yang dikenakan serta membolehkan Felda memberi pemansuhan 80 peratus hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion yang dilaksanakan pada tahun 2021.

"Kerajaan telah menambah baik tatakelola penyaluran dana kepada Felda sebagai agensi badan berkanun Kerajaan dengan melantik Amanah Raya Trustees sebagai pemegang amanah transaksi akaun bagi memastikan pelan transformasi Felda berada di landasan yang tepat serta memenuhi keperluan akauntabiliti dan integriti.

"Kerajaan telah bersetuju memberi jaminan kerajaan kepada Felda pada tahun 2019 bagi membolehkan agensi tersebut melaksanakan pelan pemulihannya di bawah program transformasi Felda yang telah bermula pada tahun 2020 untuk tempoh lima tahun," jelasnya.