Hujan monsun di Pakistan ragut lebih 50 nyawa

Pihak penyelamat memerhatikan keadaan banjir di sebuah jambatan di Rawalpindi. - AFP
Pihak penyelamat memerhatikan keadaan banjir di sebuah jambatan di Rawalpindi. - AFP
A
A
A

ISLAMABAD - Hujan monsun yang melanda Pakistan sudah meragut lebih 50 nyawa setakat ini, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Sejumlah 30 kematian dilaporkan dari wilayah Punjab, yang mempunyai bilangan penduduk teramai di negara itu, kata jurucakap Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA) pada Jumaat.

Di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, sekurang-kurangnya lapan kanak-kanak maut akibat tanah runtuh.

Sejumlah 87 lagi cedera akibat kejadian bumbung dan dinding runtuh.

Kerajaan telah mengeluarkan amaran mengenai kemungkinan banjir, menurut jurucakap NDMA.

Kehidupan penduduk di Lahore, bandar kedua paling ramai penduduk di negara itu turut terjejas, susulan curahan hujan memecah rekod sepanjang dua hari lepas.

Tahun lepas, lebih 1,700 orang terbunuh dan lebih 33 juta lagi terjejas akibat banjir besar yang dicetuskan oleh hujan monsun.

Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa (IRC) juga memberi amaran tentang kesan serius akibat banjir yang diramalkan tahun ini.

Pakistan hanya melepaskan karbon global kurang daripada satu peratus namun negara itu merupakan antara 10 negara teratas yang paling terdedah kepada perubahan iklim.

Banjir kilat, hakisan tanah, ribut, kemarau dan jerebu semakin meningkat di Pakistan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. - Bernama-dpa