'Usah terlampau khuatir, Jepun patuhi standard keselamatan'

Seoul bagaimanapun mengekalkan larangan import produk makanan laut dari wilayah Fukushima sebagai langkah berjaga-jaga. - Foto: AFP
Seoul bagaimanapun mengekalkan larangan import produk makanan laut dari wilayah Fukushima sebagai langkah berjaga-jaga. - Foto: AFP
A
A
A

SEOUL - "Rancangan Jepun mahu melepaskan lebih sejuta tan sisa air radioaktif yang dirawat mematuhi standard keselamatan global."

Kenyataan itu dikeluarkan Korea Selatan pada Jumaat sebagai usaha meredakan kebimbangan ramai terhadap impak langkah tersebut yang bakal dilaksanakan pada musim panas ini.

"Berdasarkan kajian semula pelan rawatan air tercemar dikemukakan Tokyo, kami sahkan tahap kepekatan bahan radioaktif itu mematuhi piawaian ditetapkan.

"Kami juga menghormati keputusan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang meluluskan tindakan sedemikian," ujar Menteri di Pejabat Penyelarasan Dasar Kerajaan, Bang Moon-kyu.

Menurutnya, penilaian oleh dua agensi kumpulan pemerhati nuklear tempatan itu adalah berdasarkan semakan bebas pelan, lawatan ke kemudahan tersebut dan laporan IAEA.

"Ia jelas menunjukkan sisa air radioaktif tersebut tidak memberikan kesan besar kepada orang ramai dan alam sekitar," jelasnya sambil menambah larangan terhadap import produk makanan laut dari Fukushima bagaimanapun akan dikekalkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Sebelum ini, rancangan pelepasan sisa air radioaktif yang digunakan untuk menyejukkan reaktor dan disimpan di loji nuklear tidak beroperasi di utara Tokyo itu telah mencetuskan bantahan beberapa negara jiran termasuk dari Seoul.

Pemimpin pembangkang, Lee Jae-myung yang memimpin Parti Demokratik menegaskan kerajaan sepatutnya menentang sekeras-kerasnya pelan tersebut dan mengemukakan kes itu kepada Tribunal Antarabangsa Undang-undang Laut (ITLOS) untuk tindakan selanjutnya.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa China memaklumkan ia akan mengenakan larangan import makanan dari 10 wilayah Jepun termasuk Fukushima atas kebimbangan keselamatan dan ancaman tidak diketahui pada manusia.

Kementerian Luar pada Khamis memberitahu ia juga bakal melakukan ujian radiasi yang ketat terhadap produk makanan dari bahagian lain.

"Kami mengekalkan tahap kewaspadaan yang tinggi," jelas kastam tanpa memberikan senarai nama wilayah yang terlibat.

Kira-kira 1.33 juta meter padu air bawah tanah dan takungan air hujan digunakan untuk proses penyejukkan beberapa reaktor yang terjejas teruk akibat kejadian tsunami kira-kira 12 tahun lalu.

Pengendali loji nuklear itu, Tokyo Electric Power Company (Tepco) merawat takungan air berkenaan melalui sistem pemprosesan ALPS untuk membuang hampir kesemua elemen radioaktif kecuali tritium dan merancang mahu mencairkannya sebelum dibuang ke laut bagi tempoh selama beberapa dekad.

Beijing sekali lagi menegaskan Tokyo masih mempunyai banyak masalah dari segi kebolehpercayaan alatan pembersihan dan rancangan pemantauan yang sempurna untuk langkah sedemikian yang berpotensi memberi impak besar kepada ekosistem. - AFP