El Nino dijangka meningkat hujung tahun ini sehingga awal 2024

Fenomena El Niño sudah pun bermula dan kekuatannya dijangka meningkat pada penghujung tahun ini sehingga awal tahun 2024.
Fenomena El Niño sudah pun bermula dan kekuatannya dijangka meningkat pada penghujung tahun ini sehingga awal tahun 2024.
A
A
A

SHAH ALAM - Negara bakal berdepan suhu panas dan kering berpanjangan pada hujung tahun ini sehingga awal 2024 berikutan kekuatan fenomena El Nino dijangka meningkat dengan kebarangkalian melebihi 90 peratus.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam satu kenyataan berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) pada 4 Julai lalu.

Katanya, El Nino kini sudah pun bermula dan biasanya berlaku setiap dua hingga tujuh tahun serta berlanjutan antara sembilan hingga 12 bulan.

"Pada awal tahun 2024, fenomena El Nino akan memberikan kesan yang lebih ketara apabila intensitinya mencapai kemuncak di mana negara akan mengalami cuaca panas dan kering berpanjangan.

"Ini seterusnya akan mengakibatkan peningkatan suhu dan pengurangan jumlah hujan serta mampu menyebabkan keadaan jerebu merentas sempadan jika pembakaran hutan dan tanah gambut tidak terkawal,'' jelas kenyataan itu pada Jumaat.

Tambah kenyataan itu, semasa keadaan cuaca panas, semua pihak dinasihatkan supaya mengamalkan langkah penjimatan dalam penggunaan air.

"Orang ramai turut dinasihatkan agar mengelak daripada melakukan pembakaran terbuka, mengurangkan aktiviti di luar rumah atau bangunan dan minum air secukupnya.

"Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sentiasa memantau keadaan cuaca di seluruh negara dan akan mengeluarkan Nasihat Gelombang Haba sekiranya bacaan suhu maksimum harian melebihi 37.0°C untuk tiga hari berturut-turut,'' ujarnya.

Orang ramai disarankan supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial MetMalaysia.