UPNP gagalkan aktiviti perlombongan bauksit haram Sungai Ular

Aktiviti perlombongan bauksit secara haram di sekitar kawasan Sungai Ular di kesan oleh UPNP pada Khamis. (Gambar kecil: Wan Rosdy)
Aktiviti perlombongan bauksit secara haram di sekitar kawasan Sungai Ular di kesan oleh UPNP pada Khamis. (Gambar kecil: Wan Rosdy)
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang melalui pasukan elit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) berjaya menggagalkan aktiviti perlombongan bauksit secara haram di sekitar kawasan Sungai Ular dekat sini pada Khamis.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menjelaskan, berdasarkan laporan, aktiviti perlombongan terbabit dikesan tiga anggota pasukan elit UPNP yang melakukan penugasan rondaan harian bagi aktiviti pemantauan pasir silika di sekitar Sungai Baging dan Sungai Ular, pada jam 6 petang.

Menurutnya, dalam rondaan sekitar jam 6.20 petang itu, anggota pasukan elit UPNP telah menerbangkan dron dan melihat aktiviti melombong bahan mineral (bauksit) di sekitar Sungai Ular.

"Anggota pasukan elit UPNP terus pergi ke lokasi kejadian dan meminta pemandu lori mengemukakan sebarang dokumen namun gagal.

"Mereka kemudiannya menahan dan menyita empat lori dan dua jengkaut mengikut Seksyen 137 (1) Enakmen Mineral Negeri 2001 kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri 2001 iaitu penalti kerana melombong tanpa lesen atau pajakan yang sah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jengkaut turut disita dalam dalam rondaan rutin anggota pasukan elit UPNP di sekitar Sungai Ular.
Jengkaut turut disita dalam dalam rondaan rutin anggota pasukan elit UPNP di sekitar Sungai Ular.

Beliau berkata, penguatkuasaan akan diteruskan dari masa ke masa bagi menyekat kegiatan ini.

"Saya tegaskan kerajaan Pahang tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti penerokaan tanah secara haram di seluruh negeri ini dan usaha-usaha membanteras aktiviti sebegini akan sentiasa diteruskan setiap masa," katanya.

Wan Rosdy turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada UPNP kerana berjaya menggagalkan aktiviti perlombongan haram ini.