Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pagi ini

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar AS pagi, terjejas oleh data pasaran tenaga buruh Amerika Syarikat yang lebih kukuh dan ini boleh mendorong peluang Rizab Persekutuan (Fed) untuk mengekalkan pendirian ketat terhadap dasar monetari, kata seorang pakar ekonomi.

Pada 9 pagi, unit tempatan menyusut nilai kepada 4.6680/6725 berbanding dolar AS daripada 4.6580/6630 pada penutupan Khamis.

Data Perubahan Pekerjaan Bukan Ladang ADP terkini untuk bulan Jun dilaporkan meningkat lebih tinggi daripada jangkaan kepada 497,000 berbanding 228,000.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ini mungkin boleh menyebabkan Rizab Persekutuan mengekalkan pendirian mengehadkan dasar monetari bagi menurunkan inflasi ke arah sasarannya pada 2.0 peratus.

"Dolar AS akan disokong dengan baik selagi pasaran percaya Rizab Persekutuan akan meneruskan kempen kenaikan kadar faedahnya," katanya kepada Bernama.

Selain itu, titik data AS malam ini adalah penting - Gaji Bukan Ladang (NFP) dijangka meningkat sebanyak 339,000 pada bulan Jun berdasarkan anggaran konsensus daripada 225,000 pada bulan sebelumnya.

Justeru, Mohd Afzanizam berpendapat ringgit akan lemah kerana Rizab Persekutuan mungkin menaikkan 25 mata asas (bps) lagi dalam mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan datang pada 25-26 Julai.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama yang lain.

Ia menyusut nilai berbanding euro kepada 5.0811/0860 daripada 5.0600/0654 pada penutupan urus niaga Khamis, rendah berbanding yen Jepun untuk mencatatkan paras 3.2401/2434 daripada 3.2323/2359 dan lemah berbanding pound Britain kepada 5.9433/9490 daripada 5.9310/9374 semalam.

Berbanding mata wang Asean, ringgit diniagakan bercampur-campur.

Nilai ringgit turun berbanding dolar Singapura kepada 3.4496/4532 daripada 3.4458/4497 pada Khamis tetapi meningkat berbanding baht Thai kepada 13.2335/2516 daripada 13.2881/3088.

Mata wang tempatan itu hampir tidak berubah nilainya berbanding rupiah Indonesia kepada 309.9/310.4 daripada 309.3/309.8 dan mendatar berbanding peso Filipina pada 8.39/8.40. - Bernama