Identiti 2 lelaki dihempap kotak kurma dikenal pasti

Kedua-dua pekerja warga Bangladesh disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kedua-dua pekerja warga Bangladesh disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Identiti dua lelaki Bangladesh yang maut dihempap kayu dan timbunan kotak berisi kurma di sebuah gudang di Lorong Perindustrian Bukit Minyak di sini hari ini sudah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, Ali Md Baker, 32, dan Rabbani Borhan Uddin, 26, masing-masing bekerja di gudang milik sebuah syarikat kurma itu sejak beberapa tahun lalu.

"Kejadian itu berlaku di sebuah gudang penyimpanan stok buah kurma dan barangan makanan untuk jualan serta pemasaran sebuah kilang pembekal kurma dan makanan yang diimport dari negara Timur Tengah.

"Hasil soal siasat ke atas pekerja di situ mendapati dua pekerja Bangladesh itu sedang melakukan kerja memunggah keluar kotak berisi kurma di bahagian palet bawah yang disusun secara meninggi sebelum tiba-tiba kayu palet serta kotak tersebut jatuh menghempap mereka," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan awal kematian adalah berpunca daripada kemalangan di tempat kerja dan tiada sebarang elemen jenayah setakat ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua maut dihempap timbunan kayu, kotak berisi kurma

Sementara itu, rakan sekerja mangsa yang juga saksi kejadian dikenali sebagai Abdullah, 30, berkata, kejadian tersebut berlaku sangat pantas dan pekerja di situ terdengar bunyi kuat sebelum mendapati dua mangsa dihempap timbunan kotak kurma serta kayu palet.

Abdullah berkata, ketika itu dia dan beberapa lagi pekerja juga sedang melakukan kerja dalam gudang berkenaan dan terkejut apabila melihat dua rakannya dihempap kotak kurma.

Artikel Berkaitan:

“Tiba-tiba bunyi kuat seperti benda jatuh sebelum kami terus bergegas untuk melihat apa yang berlaku dan mendapati dua mangsa sudah berada di bawah timbunan kotak buah kurma dan kayu palet berkenaan.

"Kami terus tarik mereka keluar dari timbunan kotak untuk cuba menyelamatkan mereka dan sebaik berjaya dikeluarkan dua rakan saya sudah tidak sedarkan diri,” katanya. - Bernama