Rafizi, Fazura antara juri program realiti TV terbaharu Astro

Fazura (dua dari kiri), Rafizi (lima dari kanan) antara juri Innovathon yang bakal memulakan siaran pada 15 Julai ini.
Fazura (dua dari kiri), Rafizi (lima dari kanan) antara juri Innovathon yang bakal memulakan siaran pada 15 Julai ini.
A
A
A

ASTRO dengan kerjasama Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) melancarkan pertandingan realiti berteraskan sains, teknologi dan inovasi iaitu Innovathon yang bakal memulakan siaran pada 15 Julai ini.

Program yang memaparkan skil dan idea inovatif bagi mencari penyelesaian isu sosio ekonomi itu menyaksikan seramai 1,033 penyertaan dari seluruh negara merangkumi peserta termuda berusia 7 tahun sehingga paling tua, 73 tahun.

Sebanyak 56 idea yang ditampilkan terpilih menerusi sesi uji bakat tersebut bakal berentap dalam program lapan episod yang akan menemui penonton pada setiap Sabtu, jam 9 malam di saluran Astro Ria (104).

Menariknya, kerjasama itu turut menyaksikan buat julung kalinya dua Menteri Kabinet Malaysia menyertai bertindak sebagai panel juri.

Mereka terdiri daripada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri MOSTI, Chang Lih Kang yang akan bersama-sama dengan pelakon popular, Nur Fazura untuk menilai idea serta kreativiti diketengahkan oleh peserta dalam program tersebut.

Fazura (tengah) bersama Rafizi dan Chang Lih Kang pda sidang media program Innovathon. - Foto AZRUL RAFIE
Fazura (tengah) bersama Rafizi dan Chang Lih Kang pda sidang media program Innovathon. - Foto AZRUL RAFIE

Lapan peserta untuk setiap episod akan memperkenalkan dan mempersembahkan idea mereka di hadapan 100 pengguna dan lima juri profesional. Setiap episod menampilkan beberapa idea tetapi hanya satu atau dua idea terbaik akan dipilih untuk mara ke pentas akhir.

Innovathon menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM100,000 selain peserta turut berpeluang memenangi sokongan pelaburan pembangunan perniagaan bernilai sehingga RM1 juta.

Program sama turut menyaksikan pengacara terkenal Datuk Aznil Nawawi mengisi peranan sebagai mentor yang akan membimbing dan memberi motivasi kepada peserta-peserta terlibat, manakala Awal Ashaari dan Datin Lisa Surihani bertindak sebagai hos.