Suspek dadah ditemukan meninggal dunia dalam lokap

Kok Chin (tiga dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas daripada kelima-lima suspek.
Kok Chin (tiga dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas daripada kelima-lima suspek.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang suspek yang dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah ditemukan meninggal dunia di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Nibong Tebal pada pagi Khamis.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, suspek berusia 40 tahun ditemui oleh pegawai polis yang bertugas pada jam 10 pagi selepas proses reman dijalankan ke atasnya.

Menurutnya, siasatan di lokasi kejadian mendapati, suspek yang merupakan seorang peniaga itu ditemui di jeriji besi pintu sel.

"Ketika kejadian, terdapat empat orang kena tahan (OKT) termasuk suspek berada dalam sel berkenaan. Suspek ditahan dalam satu operasi bersama empat lagi rakannya kerana disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah semalam (Rabu).

"Suspek ditahan di sebuah premis di Lunas, Kulim. Dia mempunyai empat rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencingnya juga positif dadah," katanya pada sidang akhbar di Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Khamis.

Tambah Kok Chin, semakan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, suspek menyangkut bajunya pada besi jerigi sebelum ditemui.

Pemeriksaan oleh pihak koroner juga mengesahkan tiada unsur jenayah ditemui pada mayat suspek.

"Kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai empat lagi suspek yang ditahan dalam operasi sama, Kok Chin berkata, kesemua suspek ditahan dalam empat serbuan antara jam 12 tengah hari, 5 Julai hingga 7 pagi, 6 Julai.

Tambahnya, suspek pertama dan kedua tidak mempunyai pekerjaan, suspek ketiga adalah pembantu kedai dan kelima bekerja sebagai tukang kebun.

Kata beliau, tangkapan pertama dibuat di sebuah tempat letak kenderaan di Nibong Tebal, dua suspek berusia 49 dan 58 tahun ditahan dalam kereta Perodua Alza.

Kok Chin (kiri) dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd Shukhairy Abd Sabhe menunjukkan ganja yang dirampas bersama suspek.
Kok Chin (kiri) dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd Shukhairy Abd Sabhe menunjukkan ganja yang dirampas bersama suspek.

"Suspek pertama mempunyai dua rekod jenayah dan suspek kedua tiada rekod jenayah. Dalam tangkapan ini, kita menemui 16 ketulan mampat daun kering iaitu ganja seberat 11,327 gram bernilai RM37,400, dua bungkus plastik dadah jenis Mushroom seberat 1,033 gram bernilai RM51,600 dan 45 kotak mengandungi 450 batang rokok jenis Mushroom bernilai RM27,000 dalam kereta tersebut.

"Jumlah berat dadah dirampas adalah 12.72 kilogram yang bernilai RM116,000. Ia mampu dibekalkan kepada 50,000 penagih jika terlepas ke pasaran.

"Dalam serbuan kedua pula, polis menahan seorang lelaki berusia 35 tahun di Taman Tasik Mutiara, Nibong Tebal bersama ganja. Dia mempunyai 15 rekod jenayah. Tangkapan seterusnya adalah suspek yang meninggal dunia di dalam lokap," katanya.

Ujar beliau, tangkapan terakhir adalah seorang lelaki berusia 56 tahun di sebuah pondok tidak bernombor.

"Suspek mempunyai 22 rekod jenayah. Kesemua suspek positif dadah dan direman sehingga 12 Julai untuk siasatan lanjut. Mereka aktif sejak awal tahun ini.

"Polis turut menyita dua buah kereta, sebuah motosikal dan wang tunai dengan nilai keseluruhan RM85,520. Jumlah nilai dadah dan sitaan adalah RM201,520. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam pada itu, Kok Chin berkata, Polis Pulau Pinang menahan 7,216 orang kerana kesalahan dadah dalam tempoh 1 Januari hingga 30 Jun tahun ini.