PRN: DAP Johor bantu PH-BN menang di Kedah, Terengganu

SHEIKH UMAR
SHEIKH UMAR
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jentera DAP Johor akan bantu calon Pakatan Harapan (PH) dan BN berkempen pada pilihan raya di enam negeri pada bulan depan dengan keutamaan diberikan di Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, ini kerana di tiga negeri tersebut PH akan berdepan cabaran menentang Perikatan Nasional (PN) selain percaya calon parti komponen Kerajaan Perpaduan mampu menang sekira berusaha bersungguh-sungguh.

"Untuk PRN enam negeri ini, jentera (DAP Johor) akan diagih kepada semua negeri, namun fokus kita adalah buat negeri Kedah, Terengganu dan Kelantan. Ini kerana jentera DAP dan PH di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan sudah bersiap siaga secukupnya.

"Fokus lebih diberikan kepada Kedah dan Terengganu kerana diyakini kita turut mempunyai peluang untuk menang dan menubuhkan kerajaan negeri," ujar beliau.

Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas

Perasmian Penutupan Bengkel Pelan Hala Tuju Pembangunan Industri Nanas 2030 di sebuah hotel di bandar raya ini pada Khamis.

Turut hadir Ketua Pengarah LPNM, Mohd Khairulzamri M Salleh; Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan LPNM, Linda Buang dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi LPNM, Onn Abdul Shukur Tahiruddin.

Pada Rabu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan akan dijalankan serentak pada 12 Ogos ini manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.

Mengulas lanjut, Sheikh Umar berkata, perhatian yang lebih diberikan kerana Kedah dan Terengganu sudah biasa dengan perubahan kerajaan khususnya selepas pilihan raya jika dibandingkan dengan Kelantan.

"Bermakna, kita sedar ia bukan satu cabaran yang mudah tetapi tidak mustahil untuk dilakukan (menang dan bentuk kerjaaan) sekiranya gerak kerja jentera disusun dengan baik," jelasnya.

Katanya, ini berbeza di Kelantan yang diharapkan juga dapat menang beberapa kerusi sementara di tiga negeri ditadbir PH sebelum ini iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang tidak mempunyai banyak masalah untuk menang.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, DAP mengalu-alukan keputusan MCA dan MIC untuk tidak meletakkan calon dan terlibat secara langsung dalam PRN itu nanti.

Sheikh Umar yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP turut berterima kasih dengan komitmen diberi kedua-dua parti tersebut untuk terus membantu kempen calon BN.

Menurutnya, ini kerana calon BN juga merupakan calon daripada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ini adalah komitmen yang menunjukkan keikhlasan mereka dalam mendepani PRN akan datang ini," katanya dan percaya keputusan diambil MCA dan MIC itu dibuat setelah perbincangan diadakan antara parti-parti komponen dalam BN.

Tambah beliau, pihaknya difahamkan keputusan itu sudah mendapat restu Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan dibuat untuk memberi persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16.