PRN: Pemimpin berjiwa rakyat pilihan pengundi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ALHAMDULILLAH, setelah sekian lama berteka-teki, akhirnya hari mengundi di enam negeri bagi pilihan raya negeri (PRN) ditetapkan pada 12 Ogos depan, manakala 29 Julai untuk penamaan calon.

Ia diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam satu sidang akhbar khas pada Rabu selepas beliau mempengerusikan mesyuarat menentukan tarikh-tarikh penting PRN.

Ternyata ramalan ramai penganalisis politik yang menjangkakan PRN sesuai diadakan pada pertengahan Ogos juga benar belaka kerana tarikh itu dapat memberi cukup ruang kepada SPR untuk membuat persiapan menjelang hari penamaan calon dan juga tempoh berkempen.

Kini, terpulanglah kepada rakyat di enam negeri - Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang untuk menentukan takdir dan nasib kerajaan yang bakal mentadbir penggal seterusnya.

Walaupun mungkin PRN tidak akan menjadi meriah dan ‘panas’ seperti Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas, namun ia masih sangat penting untuk masa depan kesemua negeri berkenaan.

Siapakah yang bakal terpilih untuk mentadbir? Buat masa ini hanya ALLAH SWT yang Maha Mengetahui namun sebagai pengundi, kita semua ada hak untuk memilih calon terbaik yang akan bekerja untuk rakyat, bukan yang hanya nampak batang hidung menjelang pilihan raya sahaja.

Selepas menyaksikan bagaimana Pakatan Harapan (PH) bekerja untuk rakyat sepanjang memerintah Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, ramai yang sudah mula buat ‘kira-kira’ sama ada mereka dan Barisan Nasional (BN) iaitu rakan dalam Kerajaan Perpaduan perlu diberi peluang untuk terus memerintah atau tidak.

Pada masa sama, rakyat juga memerhatikan prestasi Perikatan Nasional (PN) di tiga negeri dikuasai mereka iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Di sebalik semua isu perebutan dan pertelingkahan antara parti menjelang PRN enam negeri, harus diingat keputusan akhir adalah di tangan yang memegang kertas undi.

Awas, rakyat sudah semakin bijak dan sudah tentu mereka tidak mahu melakukan kesilapan dengan memilih pemimpin yang salah.

Jangan lupa untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada 12 Ogos ini walaupun mungkin perlu pulang ke kampung yang jauh agar negeri kita dapat ditadbir pemimpin yang betul dan berjiwa rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN:

PRN: Hari mengundi 12 Ogos, penamaan calon 29 Julai - SPR

PRN telan kos RM420 juta - SPR