'Tidak akan berlaku pemindahan undi antara PH-BN' - Marzuki

Marzuki Mohamad
Marzuki Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Tidak akan berlaku pemindahan undi secara penuh (full vote transferability) antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam kalangan pengundi Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Berdasarkan kajian yang dijalankan di 39 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Melayu di Selangor, pengundi Melayu BN tidak semestinya mengundi calon PH dan sebaliknya.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Kelapan, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, dalam kalangan pengundi Melayu BN, 39 peratus telah menyatakan akan mengundi PN dan hanya 15 peratus undi PH.

"Ini bermakna, tujuh daripada 10 pengundi Melayu BN yang telah membuat keputusan mengenai pemilihan parti dalam PRN nanti memilih untuk mengundi calon PN.

"Baki 49 peratus pengundi Melayu BN masih belum pasti tentang parti yang akan diundi kelak. Namun, penelitian lebih mendalam mendapati sebahagian besar daripada mereka ini lebih cenderung untuk menyokong PN berbanding PH," katanya menerusi laman Facebook pada Rabu.

Tambah Marzuki, kajian itu melibatkan 1,200 orang responden dan berlangsung pada 1 Mac hingga 20 April 2023.

"Kami menjangkakan berlaku pertarungan sengit dalam PRN Selangor dengan kelebihan memihak kepada PN terutamanya di kerusi-kerusi majoriti Melayu.

"Terdapat 56 kerusi DUN Selangor, sebanyak 39 adalah kerusi majoriti Melayu dan 17 adalah kerusi majoriti bukan Melayu. Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri ialah 29 kerusi," jelasnya.