PRN: Tempoh paling panjang dalam sejarah selepas DUN bubar - Kon Yeow

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyifatkan tempoh yang diberikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum tarikh penamaan calon iaitu sebulan selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ialah suatu tempoh yang paling panjang dalam sejarah Pilihan Raya Negeri (PRN).

Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berkata, dalam tempoh itu semua parti boleh menyempurnakan segala persiapan sebelum penamaan calon dijalankan.

"Bagi tempoh 14 hari untuk kempen sebelum hari pembuangan undi, walaupun menyerupai tempoh yang diberikan sebelum ini, ia adalah mencukupi yang mana banyak kerja-kerja berkaitan boleh dilaksanakan sebelum tarikh penamaan calon.

"Justeru, segala urusan penamaan calon dan lain-lain urusan berkaitan akan diselesaikan pada tempoh ini," katanya menerusi kenyataan di sini pada Rabu

SPR pada sidang media sebelum ini mengumumkan hari pengundian bagi PRN di enam negeri akan dilaksanakan serentak pada 12 Ogos depan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh turut memaklumkan penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai.

"Bagi pengundian awal pula adalah pada 8 Ogos," katanya.

PRN melibatkan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).

ARTIKEL BERKAITAN:

PRN: Hari mengundi 12 Ogos, penamaan calon 29 Julai - SPR

PRN telan kos RM420 juta - SPR