Hilang cucu kesayangan sekelip mata, Robert De Niro minta ruang

Leandro (kiri) yang dipanggil Leo di kalangan keluarga meninggal dunia pada usia 19 tahun di sebuah kondominium mewah di bandar New York.
Leandro (kiri) yang dipanggil Leo di kalangan keluarga meninggal dunia pada usia 19 tahun di sebuah kondominium mewah di bandar New York.
A
A
A

PELAKON veteran, Robert De Niro meminta semua pihak memberi mereka ruang privasi selepas pemergian mengejut cucu lelakinya, Leandro De Niro Rodriguez pada Ahad lalu.

Menurut De Niro, mereka sekeluarga berada dalam keadaan sedih dan tertekan, terutama anak perempuannya, Drena De Niro.

"Saya amat tertekan dengan pemergian cucu kesayangan saya, Leo. Kami amat menghargai setiap doa dan ucapan takziah daripada semua pihak.

"Namun beri kami privasi untuk meratapi kehilangan Leo. Terutamanya buat Drena yang masih cuba menerima pemergian mendadak anaknya itu," kata pemenang anugerah Academy itu dalam satu kenyataan seperti yang dilaporkan Fox News Digital.

Sementara itu, Drena yang juga aktres dan pembikin filem turut meluahkan kepiluannya menerusi hantaran di Instagram pada Selasa.

"Saya hampir tidak dapat menaip kerana air mata, tetapi semua kasih sayang, mesej, panggilan, teks, email, rakan dan keluarga membantu saya bertahan untuk tempoh 24 jam.

"Saya masih belum dapat membalas kesemuanya tetapi kami bersyukur kerana mendapat segala kasih sayang dari anda.

"Apa yang berlaku ini terasa tidak betul dan adil, hati saya terluka dalam cara yang tidak pernah saya bayangkan.

"Leo, saya sayang awak sama seperti hari pertama saya memegang awak ketika berada dalam dakapan saya.

"Saya akan mengingati setiap detik bersama awak biarpun hati saya hancur selamanya," coret Drena.

Leandro yang dipanggil Leo di kalangan keluarga meninggal dunia pada usia 19 tahun di sebuah kondominium mewah di bandar New York.

Bagaimanapun punca kematian masih disiasat.