Bursa Malaysia terus pamer kenaikan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dagangan Bursa Malaysia terus meningkat pada sesi tengah hari dengan indeks utama naik 0.18 peratus, dipacu oleh minat belian dalam saham wajaran tinggi terpilih yang diterajui oleh saham perladangan, sekali gus mengetepikan prestasi lemah pasaran serantau yang lain.

Kuala Lumpur Kepong menambah 64 sen atau 2.87 peratus kepada RM22.92 daripada RM22.28. Kaunter itu telah membantu melonjakkan indeks komposit sebanyak 1.15 mata.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 2.43 mata untuk mencatatkan paras 1,394.92 daripada 1,392.49 pada penutupan Selasa.

Pagi ini, indeks utama dibuka 0.11 mata lebih rendah pada 1,392.38 dan berlegar antara 1,392.24 dan 1,395.82 sepanjang sesi.

Bagaimanapun, pasaran yang lebih luas menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 349 berbalas 338, manakala 397 kaunter tidak berubah, 1,151 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 1.40 bilion unit bernilai RM682.12 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, FBM KLCI menebus kembali sebahagian besar kerugian hariannya semalam apabila kegiatan pengambilan untung muncul selepas mencatatkan kenaikan sementara minggu lepas.

"Kami mengunjurkan peningkatan seterusnya dengan indeks utama bergerak ke arah 1,400," katanya.

Sementara itu, perhatian pelabur dilihat beralih kepada minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan Amerika Syarikat hari ini bagi mendapatkan petunjuk lanjut mengenai tahap kenaikan kadar faedah masa depan.

Bagi komoditi, minyak mentah Brent mencecah melebihi US$76 setong berikutan pengurangan pengeluaran seterusnya dengan jangkaan permintaan yang lebih perlahan dari China, manakala harga minyak sawit mentah kekal melebihi RM3,900 satu tan.

"Sektor tenaga mungkin mengambil petunjuk daripada kestabilan harga minyak mentah," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Sime Darby Plantation meningkat tujuh sen kepada RM4.37, IOI Corporation menambah empat sen menjadi RM3.85 dan Axiata peroleh dua sen untuk mencatatkan harga RM2.66.

Bagaimanapun, Mr D.I.Y. susut empat sen menjadi RM1.55.

Bagi saham aktif, BTM Resources naik setengah sen kepada 9.5 sen, Parkson meraih tiga sen kepada 22 sen, Sarawak Consolidated turun satu sen kepada 46 sen manakala Widad dan KNM masing-masing tidak berubah pada 42 sen dan lapan sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengembang 14.11 mata kepada 10,272.93, Indeks FBMT 100 meningkat 13.66 mata menjadi 9,969.46 dan Indeks FBM Emas Syariah untung 21.55 mata kepada 10,551.93.

Indeks FBM 70 mengukuh 2.92 mata pada 13,534.02 manakala Indeks FBM ACE peroleh 20.40 mata kepada 5,115.27.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 6.89 mata kepada 15,490.06, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.24 mata menjadi 159.04, Indeks Tenaga memperoleh 0.74 mata kepada 793.15 dan Indeks Perladangan melonjak 83.15 mata kepada 6,912.89. - Bernama.