Firmino sertai Al-Ahli

Firmino
Firmino
A
A
A

PENYERANG Brazil, Roberto Firmino telah menyertai Al-Ahli secara percuma selepas pemergiannya dari Liverpool, kata kelab Arab Saudi itu pada Selasa.

“Saya selalu bermain untuk pasukan besar, sekarang saya di Al-Ahli,” kata Firmino dalam video di akaun Twitter Al-Ahli.

Pemain berusia 31 tahun itu menandatangani kontrak selama tiga tahun akan bekerjasama dengan penjaga gol, Edouard Mendy yang juga meninggalkan Liga Perdana Inggeris selepas tiga musim bersama Chelsea.

Al-Ahli kembali ke Liga Pro Saudi selepas menghabiskan kempen 2022-2023 di divisyen dua tetapi pasukan itu masih tiada jurulatih selepas pemergian Pitso Mosimane dari Afrika Selatan.

Firmino menyertai Liverpool pada 2015, membantu kelab Merseyside itu memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara, Piala FA dan Liga Perdana Inggeris.

Pemain antarabangsa Brazil itu mengucapkan selamat tinggal di Anfield pada akhir Mei, menjaringkan gol ke-111 untuk kelab tersebut pada perlawanan terakhir The Reds.

Firmino menyertai senarai panjang pemain berprofil tinggi yang berpindah ke Liga Saudi Pro dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dengan pemain seperti pemenang Ballon d'Or, Karim Benzema, N'Golo Kante dan Ruben Neves mengikut jejak langkah Cristiano Ronaldo, yang berpindah ke Al-Nassr pada Januari.

Bulan lalu, Dana Pelaburan Awam Saudi (PIF) mengumumkan Projek Pelaburan dan Penswastaan Kelab Sukan melibatkan juara liga Al-Ittihad, Al-Ahli, Al-Nassr dan Al-Hilal.

Sebagai rekod, PIF memiliki 75 peratus daripada setiap empat kelab, manakala yayasan bukan untung masing-masing memiliki 25 peratus daripada setiap satu.