Pengumuman tarikh penting PRN enam negeri hari ini

SPR akan mengumumkan penetapan tarikh PRN enam negeri hari ini. - Foto Bernama
SPR akan mengumumkan penetapan tarikh PRN enam negeri hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Tumpuan bagi perkembangan semasa negara dijangka terarah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) hari ini, yang dijadualkan mengumumkan penetapan tarikh enam pilihan raya negeri (PRN).

Satu mesyuarat khas bagi PRN Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan akan berlangsung bermula jam 10 pagi ini.

Mesyuarat khas itu bagi membincangkan tarikh penting seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian dan daftar pemilih yang akan digunakan serta lain-lain persiapan bagi melaksanakan PRN.

Susulan mesyuarat itu nanti, satu sidang media bakal diadakan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh di Putrajaya.

Pengumuman tarikh-tarikh penting itu dijangka bermula jam 12 tengah hari nanti.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan jangkaan dibuat penganalisis ekonomi yang menyifatkan pertengahan Ogos sebagai tempoh sesuai untuk membuka laluan kepada PRN susulan pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri-negeri terlibat.

Menurut Ketua Penyelidik ILHAM Centre, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim, tempoh itu masih berada dalam lingkungan 60 hari selepas DUN keenam-enam negeri tersebut dibubarkan.

Katanya, tarikh 12 atau 19 Ogos mungkin sesuai untuk SPR tetapkan sebagai tarikh mengundi bagi PRN di enam negeri itu.

Dalam perkembangan lain, tumpuan juga bakal diberikan terhadap perkembangan Dasar Semalaman (OPR) yang dijangka meningkat.

Jangkaan peningkatan sebanyak 25 mata asas iaitu 3.25 peratus itu, susulan menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini.

OctaFX dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, langkah tersebut dibuat adalah untuk menyokong pasaran modal dan menstabilkan kadar tukaran dolar Amerika Syarikat (AS) dengan ringgit Malaysia (RM).

“Susulan daripada pembaharuan Hawkish aretoric dari Rizab Persekutuan AS, ia telah menetapkan peringkat untuk kelemahan ringgit dan kadar faedah semasa AS ialah 5.25 peratus berbanding 3 peratus di Malaysia.

“Apabila AS menawarkan hasil yang lebih tinggi, entiti asing cenderung menukar aset Malaysia mereka kepada dolar AS dan mengalihkan pelaburan ke pasaran AS.

“Jika BNM membiarkan kadar itu tidak berubah, kejatuhan ringgit dijangka berlaku dengan lebih cepat yang mana boleh mencapai paras tertinggi beberapa tahun iaitu 4.75,” kata kenyataan itu.