Polis marin patahkan kegiatan seludup 64,000 paket rokok

Paul (tengah) menunjukkan bekalan rokok putih yang dirampas.
Paul (tengah) menunjukkan bekalan rokok putih yang dirampas.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kegiatan penyeludupan 64,000 paket rokok ke negeri ini berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 dalam satu serbuan di Taman Unku Tun Aminah, malam kelmarin.

Komandernya, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, hasil daripada maklumat sejak awal bulan lalu, polis kemudiannya berjaya mengesan pergerakan sebuah lori yang disyaki melakukan kerja-kerja pengedaran barangan terlarang itu.

“Serbuan dilakukan kira-kira jam 11.35 malam, ketika itu lori berkenaan diletakkan di tepi Jalan Bendahara 9, Taman Ungku Tun Aminah. Setelah melakukan intipan selama 10 minit polis kemudiannya menghampiri kenderaan terbabit.

"Kita terus menyerbu dan menahan lelaki tempatan berusia 33 tahun yang merupakan pemandu lori itu sebelum mengarahkannya membuka pintu bahagian belakang lori berkenaan,” katanya pada sidang media di Markas PPM Wilayah 2 Tampoi di sini hari ini.

Paul berkata, pemeriksaan dalam lori berkenaan telah menemui sebanyak 128 kotak besar yang mengandungi 64,000 paket rokok putih.

Beliau berkata, nilai keseluruhan cukai dilarikan bagi rampasan tersebut adalah melibatkan jumlah sebanyak RM645,120.

“Hasil siasatan awal mendapati rokok putih itu adalah tidak bercukai selain disyaki diseludup dari negara jiran melalui jalan darat.

“Bekalan rokok ini juga dipercayai dibawa dari negara China untuk dipasarkan kepada pekerja warganegara berkenaan yang bekerja di dalam pelbagai sektor di negeri ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, rampasan yang dilakukan itu juga merupakan kesinambungan daripada tangkapan sebuah sindiket pada bulan lalu.

Beliau berkata, selain rampasan rokok pihaknya turut menyita lori tiga tan jenis Isuzu bernilai RM60,000 untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.