PRN: Kriteria calon mesti diterima rakyat - Mahdzir

Mahdzir (tengah) ketika hadir ke Majlis Memperingati Genap Setahun Derita Rakyat Iboi (4 Julai 2022-4 Julai 2022), di Jambatan Bailey Kampung Iboi pada Selasa.
Mahdzir (tengah) ketika hadir ke Majlis Memperingati Genap Setahun Derita Rakyat Iboi (4 Julai 2022-4 Julai 2022), di Jambatan Bailey Kampung Iboi pada Selasa.
A
A
A

BALING - Tiada halangan sekiranya calon yang dipilih bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak mempunyai jawatan atau kedudukan dalam parti, namun individu terbabit haruslah boleh diterima rakyat.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sekiranya individu dipilih itu adalah calon boleh menang, pihaknya tiada halangan.

"Sebab faktor calon itu sangat penting, jadi seseorang yang hendak dipilih, mesti boleh diterima oleh masyarakat.

"Kalau orang itu boleh diterima, sama ada dia ada jawatan dalam parti atau tak ada jawatan dalam parti, kalau 'public' boleh terima dia, kita tak ada halangan untuk mengemukakannya," katanya ketika diminta mengulas mengenai proses pemilihan calon BN Kedah bagi menghadapi PRN akan datang.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Majlis Memperingati Genap Setahun Derita Rakyat Iboi (4 Julai 2022-4 Julai 2022), di Jambatan Bailey Kampung Iboi di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar dan mantan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Selain itu, Mahdzir berkata, BN juga mempunyai beberapa kriteria lain yang perlu diambil kira dalam menentukan seseorang individu itu dinamakan sebagai calon pada PRN nanti.

Katanya, individu yang tidak berasal dari sesuatu kawasan juga boleh diangkat sebagai calon sekiranya masyarakat di kawasan tersebut dapat menerimanya dan mampu berkhidmat di situ.

"Orang itu kena ada di situlah untuk diterima oleh masyarakat. Kalau masyarakat pun tak kenal dia, ahli parti pun tak kenal dia, yang itu nanti akan ada masalah," katanya.

Sementara itu, Mahdzir berkata pengagihan kerusi PRN Kedah antara BN dan Pakatan Harapan (PH) telah selesai dan pengumuman akan dibuat kemudian.

Sebelum ini, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa berkata proses pengagihan kerusi antara PH dan BN untuk PRN di enam negeri telah selesai.

Selain Kedah, lima negeri lain yang akan mengadakan PRN adalah Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan.