Peluang kepada pelajar tahfiz

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir (enam dari kanan), turut hadir, Naib Canselor UiTM, Prof. Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim (lima dari kanan) bergambar bersama peserta pada Majlis Perasmian Himpunan Huffaz di UiTM Cawangan Selangor, Kampus Dengkil di Dengkil, hari ini. - FOTO ZAHID IZZANI
Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir (enam dari kanan), turut hadir, Naib Canselor UiTM, Prof. Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim (lima dari kanan) bergambar bersama peserta pada Majlis Perasmian Himpunan Huffaz di UiTM Cawangan Selangor, Kampus Dengkil di Dengkil, hari ini. - FOTO ZAHID IZZANI
A
A
A

SEPANG - Universiti Teknologi Mara (UiTM) komited melaksanakan Program Plus Tahfiz yang ditawarkan di kampus seluruh negara.

Program tersebut bertujuan membuka peluang dan ruang kepada pelajar tahfiz melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang profesional peringkat asasi, diploma atau ijazah tanpa meninggalkan hafalan al-Quran.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, inisiatif tersebut sejajar dengan perkembangan tahfiz di negara ini sekali gus mewujudkan platform kondusif dalam membantu para pelajar kekal istiqamah menjaga hafalan.

"Program Plus Tahfiz ini merupakan peluang terbaik kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang memiliki sijil tahfiz atau hafazan al-Quran daripada sekolah berdaftar menyambung pelajaran di UiTM.

"Para pelajar diberi kebebasan memilih bidang profesional yang ditawarkan di sini (UiTM) seperti perubatan, kejuruteraan, ekonomi dan perniagaan serta undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Himpunan Huffaz di UiTM Cawangan Selangor, Kampus Dengkil di sini hari ini.

Hadir sama ialah Naib Canselor UiTM, Prof. Ir Dr Mohd Azraai Kassim.

Direkodkan, fasa pertama Program Plus Tahfiz yang dilancarkan pada bulan September tahun lalu mempunyai 344 pelajar daripada pelbagai fakulti UiTM di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Syed Zainal Abidin turut memberitahu, pelaksanaan Program Plus Tahfiz adalah sebagai menyahut seruan kerajaan untuk melahirkan lebih 120,000 huffaz menjelang 2050.

"Ini bermakna UiTM bukan sahaja bertanggungjawab membentuk graduan yang mahir dalam ilmu profesional malah mampu mendalami ilmu al-Quran dengan baik.

"Secara tidak langsung, pada masa depan negara bakal mempunyai para pendakwah terdiri daripada graduan berlatar belakang pelbagai bidang profesional," jelasnya.

Sehubungan itu, bagi mencapai matlamat tersebut Program Plus Tahfiz mengendalikan bermacam-macam aktiviti pemantapan antaranya sesi menghafal al-Quran yang diadakan setiap hari selepas solat Maghrib.

Usaha berkenaan adalah untuk membantu pelajar tahfiz di pusat pengajian awam terbabit mempertahan dan meningkatkan hafazan al-Quran secara berterusan serta melestarikan kefahaman kitab ALLAH SWT.