Pemansuhan hukuman mati mandatori kuat kuasa hari ini

Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) secara rasmi berkuat kuasa hari ini.(Gambar kecil: Ramkarpal Singh)
Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) secara rasmi berkuat kuasa hari ini.(Gambar kecil: Ramkarpal Singh)
A
A
A

SHAH ALAM - Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) secara rasmi berkuat kuasa pada Selasa, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh.

Ujar beliau, akta tersebut telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 3 April dan di Dewan Negara pada 11 April.

Beliau berkata, ia turut menerima perkenan diraja pada 9 Jun lalu dan diwartakan pada 16 Jun 2023.

“Pemansuhan hukuman mati mandatori dan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat di Malaysia bertujuan menghormati hak untuk hidup setiap individu di Malaysia, sambil memastikan keadilan bagi semua pihak.

“Prinsip asas yang ingin diberikan penekanan oleh kerajaan, di sebalik setiap hukuman di Malaysia adalah pemulihan banduan agar mereka dapat kembali ke masyarakat dan menjadi individu yang dapat berkhidmat kepada keluarga, masyarakat dan negara, setelah selesai menjalani hukuman,” kata beliau.

Ramkarpal berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847) masih belum mula berkuat kuasa.

Bagaimanapun, ia telah pun mendapat perkenan diraja pada 9 Jun dan telah diwartakan pada 16 Jun.

“Akta 847 memperuntukkan bidang kuasa penyemakan sementara Mahkamah Persekutuan untuk mengkaji semula hukuman mati dan pemenjaraan sepanjang hayat yang telah dijatuhkan terhadap orang yang disabitkan.

“Reformasi undang-undang ini merupakan langkah awal dalam mentransformasi sistem keadilan jenayah di Malaysia,” ulas beliau.