Kadar sewa tinggi, penjaja ditawarkan astaka lain

Kadar sewa di Astaka Hillside Tanjong Bungah dikatakan terlalu tinggi. (Gambar kecil: Zairil)
Kadar sewa di Astaka Hillside Tanjong Bungah dikatakan terlalu tinggi. (Gambar kecil: Zairil)
A
A
A

GEORGETOWN - Penjaja Astaka Hillside Tanjong Bungah yang tidak setuju dengan kadar sewa sebanyak RM30 sehari akan ditawarkan astaka lain oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Perbadanan Ketua Menteri (CMI).

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, MBPP dan CMI akan membuka temuduga khas kepada penjaja yang tidak berminat dengan tawaran Astaka Hillside itu agar mereka dapat berniaga di astaka-astaka lain milik MBPP dan CMI yang lebih murah kadar sewanya.

Menurutnya, antara lokasi yang akan ditawarkan adalah di Padang Kota Lama, Kompleks Kampung Melayu, Kompleks Tanjong Bungah, Kompleks Desiran Tanjung, Kompleks Medan Renong, Kompleks Astaka Stadium, Kompleks Padang Dato Keramat, Tapak Penjaja Sementara (TPS) Jalan Johor/Jalan Dato Keramat dan TPS Jalan Utama.

"Dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada minggu lalu, maka apa jua keputusan dasar hanya boleh dibuat setelah Kerajaan Pulau Pinang baru dibentuk selepas pilihan raya negeri nanti. Dalam tempoh ini, sebarang keputusan baru berkaitan rayuan mereka untuk menurunkan kadar sewa tidak dapat dilaksanakan lagi.

"Kerajaan negeri mendengar dan peka terhadap isu ini. Justeru, setelah berbincang dengan pihak CMI dan MBPP, kedua-dua agensi ini bersetuju untuk membuka temuduga khas kepada penjaja yang tidak berminat dengan tawaran ini agar mereka dapat berniaga di astaka lain milik MBPP dan CMI yang lebih murah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kata beliau, tawaran ini hanya terbuka kepada para penjaja yang benar-benar ingin menyara hidup dan hanya kepada penjaja yang tidak mempunyai premis perniagaan di kawasan lain.

"Kerajaan Pulau Pinang telah menunaikan janji kepada 33 penjaja yang terkesan akibat kebakaran yang berlaku pada tahun 2020 dengan tawaran untuk ditempatkan semula di Astaka Hillside Tanjong Bungah yang baru siap dibina.

"Selain itu, setiap penjaja akan menerima pengecualian bayaran sewa selama tiga bulan serta sumbangan tunai sebanyak RM2,000 daripada kerajaan negeri sebagai modal permulaan perniagaan mereka.

"Bagaimanapun, ada sebilangan penjaja tidak berpuas hati dengan kadar sewaan RM30 sehari (RM20 untuk sewa dan RM10 untuk penyelenggaraan) yang mereka rasa terlalu tinggi buat mereka. Para penjaja ini telah memohon lanjutan masa tawaran daripada pihak CMI selaku pemilik astaka," katanya.

Sebelum ini, peniaga asal kompleks tersebut memohon kerajaan negeri menyemak semula kadar sewa yang dikenakan terhadap bakal peniaga yang memulakan perniagaan kembali di kompleks itu dalam tempoh terdekat.

Kesemua peniaga meminta kerajaan negeri menurunkan kadar sewa sehingga RM300 sebulan bagi mengurangkan beban peniaga memandangkan kadar sewa yang ditawarkan iaitu RM900 didakwa terlalu tinggi.

Kompleks itu yang terbakar kira-kira tiga tahun lalu telah siap dibina semula oleh kerajaan negeri dengan kos bernilai RM3.49 juta dan dijangka beroperasi semula pada tahun ini.